ADMM tekankan keamanan serantau, lulus deklarasi bersama

ADMM tekankan keamanan serantau, lulus deklarasi bersama

Inisiatif diluluskan termasuk Deklarasi Bersama Pelaksanaan Pelan Strategik Komuniti Politik-Keselamatan Asean bawah Wawasan Komuniti Asean 2045.

Menteri pertahanan negara Asean bergambar sempena Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Asean ke-19.
KUALA LUMPUR:
Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Asean (ADMM) ke-19 hari ini menutup tirai dengan penekanan terhadap keselamatan dan kestabilan serantau, di samping mengukuhkan hubungan strategik antara negara anggota serta rakan dialog utama.

Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, berkata ADMM kali ini melangkaui kerjasama ketenteraan tradisional dengan memajukan wawasan teknologi, kerjasama keselamatan siber dan inovasi bersama.

Katanya, mesyuarat juga mencapai kejayaan bersejarah apabila meluluskan jumlah inisiatif tertinggi pernah direkodkan dalam tempoh setahun.

“Antara inisiatif penting diluluskan ialah Deklarasi Bersama mengenai Pelaksanaan Pelan Strategik Komuniti Politik-Keselamatan Asean bawah Wawasan Komuniti Asean 2045 serta Deklarasi Bersama Kuala Lumpur mengenai Perpaduan Asean untuk Keselamatan dan Kemakmuran.

“Ia merupakan bukti nyata komitmen negara anggota untuk memperkukuh perpaduan serantau serta menuju Asean yang aman, stabil dan berpandangan jauh,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup ADMM ke-19.

Minister of Defence-Mohamed Khaled Nordin
Menteri Pertahanan Khaled Nordin mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Asean ke-19.

Khaled berkata, Malaysia turut memeterai perjanjian kerjasama pertahanan dengan Timor-Leste, merangkumi perkongsian kepakaran dan pembangunan keupayaan keselamatan negara itu.

Beliau berkata, penyertaan Timor-Leste dalam ADMM menandakan satu lagi langkah penting bagi rantau ini dalam memperkukuh usaha bersama memelihara keamanan dan kestabilan.

Selain mesyuarat utama, Khaled turut mengetuai pertemuan tidak rasmi Asean–India dan menghadiri Asean–China Defence Ministers’ Luncheon, yang menjadi platform perbincangan bagi memperkukuh keselamatan dan kerjasama pertahanan masa depan.

Mohamed Khaled Nordin Kao Kim Hourn
Khaled Nordin menyerahkan Deklarasi Bersama Kuala Lumpur mengenai Kesatuan Asean bagi Keselamatan dan Kemakmuran kepada Setiausaha Agung Asean Kao Kim Hourn.

“Bagi Asean, China dilihat bukan sahaja sebagai rakan penting tetapi pemain kritikal dalam mempromosikan kemakmuran global manakala India sebagai peneraju dalam sains, teknologi dan inovasi, dapat membuka ruang kerjasama lebih luas dengan Asean,” katanya.

Mesyuarat ADMM ke-19 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) akan diteruskan esok dengan sesi ADMM-Plus, melibatkan lapan rakan dialog utama Asean termasuk Amerika Syarikat, Rusia, Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.