
Norhakim Nordin, 39, selaku orang kena saman (OKS) didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu teks yang bersifat mengancam dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menggunakan aplikasi Facebook “Hakim Nordin” pada 11.12 malam, 22 Jan lalu.
Hantaran itu kemudian dibaca di Hospital Pakar KPJ Damansara, di sini pada 4 petang, 24 Jan lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Nur Nazhzilah Mohammad Hashim menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin manakala OKS yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah memandangkan dia yang hanya berpendapatan RM2,000 dan perlu menanggung isteri serta dua anak.
Hakim Azrul Darus membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 15 Feb depan.