
Kira-kira 44,000 kanak-kanak yang tidak dapat divaksin sepanjang dua tahun serangan Israel dijadualkan menerima vaksin dalam tempoh 10 hari bagi penyakit campak, beguk, rubela dan polio. Dos seterusnya akan diberikan Januari nanti.
Susulan penemuan virus polio di Semenanjung Gaza, WHO menjalankan kempen vaksinasi semasa gencatan senjata pada musim panas 2024 dan Februari 2025.
Walaupun terdapat pasukan vaksinasi bergerak, sebahagian kanak-kanak masih tidak dapat divaksin.
WHO menganggarkan 20% kanak-kanak bawah lima tahun tidak pernah menerima vaksin atau mendapat vaksin tidak mencukupi akibat konflik.
Serentak kempen imunisasi, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu akan menilai tahap kekurangan zat makanan bagi membantu golongan muda dengan lebih cepat dan berkesan.
WHO berkata, liputan vaksinasi di Semenanjung Gaza mencecah 98% sebelum serangan Israel, namun kini dianggarkan menurun bawah 70%.