Jangan persoal apa parti sumbang pada kita, Umno Taiping ingatkan ahli

Jangan persoal apa parti sumbang pada kita, Umno Taiping ingatkan ahli

Shalimin Shaffie yang juga calon BN bagi DUN Kamunting berkata, yang penting ahli mesti meneruskan perjuangan parti walaupun tidak dicalonkan.

Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie pertama kali dicalonkan pada pilihan raya selepas 14 tahun menjadi ketua bahagian Umno.
TAIPING:
Ketua Bahagian Umno Taiping Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie berkata, tempoh lama seseorang itu terbabit dalam kepimpinan parti tidak bermakna mereka perlu diangkat sebagai wakil rakyat.

Shalimin yang juga calon BN bagi DUN Kamunting berkata, beliau sendiri baru pertama kali menjadi calon selepas 14 tahun menjadi ketua bahagian.

“Kita patut tanya pada sendiri, apa sumbangan kita pada parti, bukan apa parti sumbang kepada kita. Yang penting perjuangan (parti) itu kita teruskan (walau tidak lagi menjadi calon).

“Saya beri contoh diri saya, 14 tahun jadi ketua bahagian tetapi tidak minta jadi wakil rakyat, tidak minta jadi calon kerana kita percaya perjuangan parti lebih penting daripada perjuangan individu,” katanya kepada FMT.

Beliau ditanya mengenai beberapa nama pemimpin Umno yang dilucutkan keahlian selepas bertanding sebagai calon bebas dan tiket parti lain kerana tidak tercalon pada PRU kali ini.

Shahidan Kassim (Arau), dan Ismail Abd Muttalib (Maran) bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) manakala Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar) dan Azhar Ahmad (DUN Kuala Perlis) bertanding sebagai calon bebas.

Dalam pada itu, Shalimin menyifatkan tindakan mereka mungkin bersifat emosi dan berharap mereka kembali kepada perjuangan asal Umno.

“Saya faham mereka mungkin (kecewa), iyalah emosi manusia. Biarlah merajuk sekejap tetapi mereka akan kembali (kepada) semangat BN,” katanya.

“Mungkin ada satu dua yang tak dapat menerima (bila tidak dicalonkan), tetapi saya selalu ingatkan sesiapa saja, kekuatan kita bukan kekuatan individu, tetapi kekuatan kita adalah kekuatan parti itu sendiri.”

Beliau berkata, ahli Umno yang tidak tercalon seharusnya berjiwa besar seperti Annuar Musa dan Noh Omar, yang juga bekas menteri, berusaha membantu calon BN walaupun tidak masuk gelanggang pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.