
Sanusi yang juga menteri besar Kedah berkata, dana PAS hasil kutipan derma unit peti undi parti itu di seluruh negeri, selain ‘tin Milo’ dalam kalangan ahli.
“Tanya dia duit itu bagi dekat siapa? Saya pun teringin nak tahu,” katanya kepada FMT, mengulas dakwaan seorang bekas pegawai kanan Muhyiddin Yassin.
“Di Kedah, kami tanggung sendiri semua. Peralatan dan perkakas calon-calon mereka (Bersatu) pun, seorang calon sahaja yang bayar balik kepada PAS Kedah yang mendahulukan bayaran kepada pembekal.”
Terdahulu, bekas setiausaha sulit Muhyiddin, Marzuki Mohamad, mendakwa PAS berjaya menang kerusi Parlimen terbanyak pada PRU15 hasil bantuan kewangan daripada Bersatu.
Marzuki berkata, PAS tidak menghadapi masalah besar dalam perbelanjaan pilihan raya apabila bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) kerana semua peralatan pilihan raya disediakan PN, ditanggung Bersatu.
Katanya, malah sumbangan kewangan diperoleh PAS ketika itu ‘bukan sedikit’.
“Hasilnya, PAS menang 43 kerusi Parlimen iaitu jumlah yang terbesar dalam sejarah PAS sejak 70 tahun berada di persada politik Malaysia,” katanya di Facebook.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man hanya mengulas ringkas berhubung isu itu: “Tak perlu komen. Semua parti komponen ada sumbangan masing-masing.”