
Beliau berkata, pengalaman lalu menunjukkan bahawa menjadi kuasa ketiga ialah ‘cara pasti untuk kalah’ dalam pilihan raya.
Lau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang Tan Zhen Zune, yang sebelum ini menggesa parti itu untuk tampil sebagai kuasa ketiga.
Terdahulu hari ini, Tan berkata, Gerakan telah membuktikan potensinya apabila berjaya meraih lebih 1,700 undi ketika PRK Tanjung Piai pada November 2019, walaupun berdepan saingan daripada penyandang, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, Lau memetik contoh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang hilang deposit selepas bertanding atas tiket Pejuang pada PRU15 pada November 2022.
Pejuang yang meletakkan diri sebagai kuasa ketiga gagal menang walau satu kerusi, katanya.
“Saya pun mahu jadi kuasa ketiga, tetapi ia hanya akan membawa kepada kekalahan,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gerakan Pulau Pinang.
“Mahukah kita jadi seperti Pejuang? Nak jadi kuasa ketiga, lihat apa sudah jadi padanya? Hari ini, (parti) itu cuba sertai Perikatan Nasional (PN).”
Lau juga memberi jaminan bahawa kebebasan golongan bukan Islam tidak akan digugat oleh PAS, dan beliau secara peribadi telah memberitahu rakan sejawatnya, Hadi Awang, tentang perkara itu.
Beliau berkata, ada dalam kalangan pemimpin dan ahli Gerakan yang tidak percaya beliau telah membangkitkan isu tersebut kepada Hadi.
Namun Lau menegaskan, beliau akan membawa sendiri Hadi ke Pulau Pinang untuk berdialog dengan ahli Gerakan negeri, dan mereka boleh mendapatkan pengesahan terus daripada presiden PAS itu.
Dalam pada itu, Lau mengingatkan ahli parti supaya tidak menjadi gunting dalam lipatan. Pertelingkahan dalaman hanya merugikan Gerakan apabila musuh sebenar berada di luar, katanya.
Katanya, kritikan dialu-alukan, namun beliau meminta ahli mengelak menyerang kepimpinan parti secara terbuka.
“Kalau tidak setuju dengan pandangan saya, tidak apa. Saya boleh terangkan kenapa saya ambil pendirian itu.
“Tapi jangan serang secara terbuka. Musuh kita bukan dalam parti, musuh kita DAP dan kerajaan Madani,” katanya.
Kemudian pada sidang media, Lau menjelaskan bahawa peringatan tentang pertelingkahan itu juga terpakai bagi parti-parti komponen PN.
Apabila ditanya mengenai sikap acuh tak acuh pengundi Cina menjelang PRU akan datang, Lau berkata, secara idealnya, semua patut keluar mengundi kerana ia tanggungjawab sivik masing-masing.
“Tapi kalau anda tidak mengundi, itu bagus untuk PN. Meskipun begitu, lebih baik keluar mengundi,” katanya.