
Menerusi buku ‘Notes to Myself and You’, bekas editor kanan akhbar Singapura, The Straits Times, Yap Koon Hong menulis, pelbagai faktor ‘penolak’ dan ‘penarik’ mempengaruhi golongan itu, terutamanya bagi mereka yang berpendidikan bahasa Inggeris.
“Pada dasarnya, sekurang-kurangnya untuk generasi masa ini, Malaysia kekal sebagai ‘rainbow nation’ yang santai, menarik, aman dan bertoleransi dengan kepelbagaiannya,” tulis Yap, meminjam istilah ilham Ketua Biskop Desmond Tutu pada 1990an bagi menggambarkan masyarakat majmuk Afrika Selatan.
“Ikatan kekeluargaan, persahabatan, makanan, tempat dan kenangan terindah yang menjadi tarikan kelaziman bukanlah pertimbangan yang boleh dipandang remeh atau diketepikan begitu sahaja.”
Beliau turut menulis tentang risiko penghijrahan yang mungkin membawa padah lebih buruk berbanding terus menetap di sini.
“Tiada jaminan negara baharu yang dituju tidak akan bersifat prejudis atau taasub dari segi bangsa, budaya dan agama,” katanya.
Selain itu, wujud juga risiko bahawa impian untuk mengecapi kebebasan, kemakmuran dan kebahagiaan mungkin tidak akan tercapai.
Dalam pada itu, Yap berkata, perkembangan politik pasca PRU15 pada 2022 menjadi faktor ‘penolak’ utama bagi komuniti tersebut.
“Tanda-tanda ke arah wajah Malaysia yang lebih lantang berteraskan Melayu semata-mata semakin jelas, malah dilihat tidak dapat dielakkan,” tulisnya.
Menurut Yap, kebimbangan paling utama dalam kalangan masyarakat Cina Malaysia ialah kemungkinan Perikatan Nasional (PN) menguasai kerajaan persekutuan, anjakan yang dibimbangi akan mencorak semula landskap politik dan sosial negara.
“Kenyataan bahawa Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar hanya sekadar mampu membentuk kerajaan, walaupun disokong oleh seluruh pengundi Cina dan majoriti pengundi India, pada dasarnya, tidak begitu melegakan bagi masyarakat bukan Melayu,” tambahnya.
Dalam satu bab lain, Yap menulis bahawa PN, yang diterajui PAS, merupakan ‘alternatif politik yang menggerunkan’ kepada gagasan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi sebuah Malaysia yang sederhana.
Katanya, golongan bukan Melayu mungkin akan mendapati kehidupan di Malaysia menjadi jauh lebih terbatas sekiranya gabungan pembangkang itu mengambil alih tampuk pemerintahan.
Buku ‘Notes To Myself And You’ kini boleh didapati di Amazon Prime dalam bentuk elektronik, manakala versi cetak hanya tersedia di Malaysia dan Singapura melalui pembelian dan penghantaran terus.
Pembaca yang ingin membeli buku ini, yang berharga RM60, boleh menghubungi [email protected] atau menelefon +6017 3350 855.
Sebagai alternatif, pembaca berminat boleh menghubungi CK Yap di talian +6012 7932 366.