DAP hanya jadikan Bakri tempat persinggahan wakil rakyat, gagal selesai isu

DAP hanya jadikan Bakri tempat persinggahan wakil rakyat, gagal selesai isu

Calon BN Parlimen Bakri Lee Ching Yong mendakwa selepas DAP menang, jurang hubungan antara kaum menjadi sangat ketara dan isu itu yang akan diperbetulkannya jika menang.

Calon BN Bakri Lee Ching Yong berazam mahu selesaikan masalah tempatan yang tidak diselesaikan wakil rakyat DAP yang dipilih sebelum ini.
BAKRI:
Pengundi Bakri perlu berani memberi perubahan dengan tidak lagi memberi undi kepada Pakatan Harapan (PH) dan DAP dalam PRU15 kerana parti itu hanya menjadikan kawasan berkenaan sebagai tempat persinggahan wakil rakyat dan bukannya ikhlas menjaga kebajikan penduduk.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bakri, Lee Ching Yong membuat gesaan itu dan mendakwa DAP tidak serius membantu dan menyelesaikan masalah rakyat sebaliknya sibuk menjadi pencatur dengan menjadikan Bakri sebagai tempat untuk parti itu menukar wakil rakyat.

Katanya, DAP menang Parlimen itu selama tiga penggal sejak 2008 dan banyak isu rakyat gagal diselesaikan antara isu banjir, peniaga, ibu tunggal serta sektor pelancongan.

“Banyak isu di kawasan ini yang sudah 15 tahun berlarutan, bila DAP setiap lima tahun dia cuba menipu ugut, mengakibatkan kaum Tionghua dalam keadaan dilema serba salah nak pilih siapa, rakyat anggap selepas mereka menang banyak isu boleh diselesaikan berkaitan banjir, peniaga, ibu tunggal, aktiviti ekonomi seperti pelancongan serta kebudayaan namun ia tak berlaku.

“Wakil rakyat sebelum ini sejak tiga penggal DAP menang tiada bantuan secara menyeluruh dibuat mereka hanya buat guna media sosial cakap nak selesai masalah tapi masalah tak selesai, dan kalau beri bantuan pun untuk nak tunjuk di media sosial tujuan publisiti sahaja, bukan ikhlas nak jaga rakyat susah, bukan betul-betul nak bantu,” katanya kepada FMT.

Lee berkata, untuk itu beliau merayu pengundi Bakri untuk tidak lagi memberikan undi kepada DAP kerana Bakri bukanlah kerusi transit tanpa perlu menyelesaikan isu tempatan yang berlaku.

“Pilihlah calon yang boleh kekal dan duduk di sini selesaikan masalah rakyat, setiap lima tahun tukar calon, dia tahu bila menang dia tak jalankan kerja dengan sepenuh hati, untuk mengekalkan kemenangan… calon baharu datang yang nampak tak ada isu dan pengundi sokong lagi.

“Itu cara DAP……jadi kali ini rakyat Bakri berhentilah tertipu dengan taktik DAP itu, kali ini sokong BN,” katanya.

Lee yang juga ketua MCA Bakri mendakwa sejak DAP menang di Bakri jurang antara kaum sangat ketara, hubungan Melayu, Cina dan India makin renggang dan jika beliau diberi peluang antara isu yang ingin dibetulkan ialah menyatukan kembali kaum di kawasan berkenaan.

Katanya, DAP pandai memainkan persepsi dan cipta persepsi, sanggup menipu untuk dapatkan kerusi, malah pendekatan DAP menghasut pengundi bukan Melayu menyebabkan hubungan antara kaum semakin jauh dan amat ketara.

Lee berkata, walaupun PH menang lebih 20,000 majoriti di Bakri pada pilihan raya umum lalu, kerusi tersebut bukanlah kerusi hitam untuk BN menang, sebaliknya kekalahan gabungan itu dalam pilihan raya lalu kerana rakyat termakan dengan persepsi ciptaan DAP.

Parlimen Bakri menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, Tan Hong Ping (PH), R S Chelvarajan (PN) dan Haron Jaafar (Bebas).

Pada PRU14, kerusi PH dimenangi calon PH Yeo Bee Yin dengan kelebihan 23,211 undi menewaskan calon BN dan PAS.

Sementara itu, tinjauan FMT bersama penduduk setempat Bakri mendapati mereka meluahkan rasa tidak selesa dengan tindakan PH menukar wakil rakyat.

“Setiap lima tahun tukar, lima tahun tukar wakil rakyat tapi isu dan masalah setempat tak selesai, kami macam ini juga susah,” kata Chong Fat

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.