Susunan pimpinan Bersatu ‘cantik’ hadapi PRU16, kata Saifuddin

Susunan pimpinan Bersatu ‘cantik’ hadapi PRU16, kata Saifuddin

Ahli MPT Bersatu Saifuddin Abdullah yakin parti itu dan Perikatan Nasional bersedia menghadapi PRU16.

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah berkata barisan pimpinan Bersatu kini penting untuk dilihat orang muda dan meneruskan kelangsungan parti.
PETALING JAYA:
Bersatu sudah bersedia berdepan PRU16 yang perlu diadakan selewat-lewatnya dua tahun lagi, menerusi pengukuhan dan peralihan saf pimpinannya selepas pemilihan parti November lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu (MPT), Saifuddin Abdullah, berkata pemilihan itu menyaksikan ramai pemimpin menonjol berjaya ditampilkan sesuai dengan usia mereka untuk membantu Presiden Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Hamzah Zainudin.

Katanya, tiga naib presiden terdiri Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin, Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee dan bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu selain Adun Hulu Kelang Azmin Ali selaku setiausaha agung, melengkapkan barisan pimpinan dengan membawa pengalaman luas.

“Pada saya susunan itu ‘cantik’, asas perancangan ini sangat penting khususnya untuk orang muda hendak lihat dan meneruskan kelangsungan parti,” katanya dalam temu bual bersama FMT.

Pemilihan Bersatu menyaksikan Muhyiddin dan Hamzah menang tanpa bertanding manakala Radzi, Kiandee serta Faizal menewaskan tiga calon lain. Faizal atau lebih dikenali Peja memberi laluan kepada Hamzah.

Azmin yang menyertai Bersatu pada 2020 dilantik setiausaha agung parti menggantikan Hamzah. Bekas menteri besar Selangor itu tidak bertanding pada pemilihan untuk penggal 2024-2027.

Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin masing-masing menang tanpa bertanding pada pemilihan Bersatu November lalu.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, pemimpin muda dalam parti turut diberi kepercayaan seperti Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang diangkat dari ketua Pemuda ke MPT.

Katanya, pimpinan sayap parti turut diketuai wajah baharu seperti Adun Gombak Setia Hilman Idham yang menggantikan Wan Fayhsal dan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati sebagai ketua Wanita selain Nurul Ezzati Azmi yang menerajui Srikandi Muda.

“Melihat barisan kepimpinan Bersatu itu, kita telah sedia (hadapi PRU16),” katanya.

Menurutnya, PAS selaku rakan komponen Bersatu dalam PN juga telah mula menampilkan tokohnya seperti Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar atau dikenali Dr Sam yang kini mengetuai pentadbiran Terengganu.

“Dr Sam ini mereka hendak ketengahkan untuk main peranan besar di peringkat persekutuan,” katanya.

Pada PRU15, Bersatu yang bertanding atas tiket PN menang 31 kerusi Parlimen namun jumlah itu berkurang kepada 25 selepas enam wakilnya mengalihkan sokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mereka adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.