Presiden PBM gantung 2 orang kuat Zuraida

Presiden PBM gantung 2 orang kuat Zuraida

Setiausaha Agung Hizwan Ahmad dan Ketua Penerangan Zakaria Abdul Hamid digantung serta-merta, berhubung mesyuarat yang melantik Zuraida Kamaruddin sebagai presiden baharu.

Presiden PBM, Larry Sng, berkata beliau hanya dimaklumkan tentang hasil mesyuarat majlis tertinggi parti yang melantik Zuraida Kamaruddin sebagai presiden hanya selepas ia diadakan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Larry Sng, mengumumkan penggantungan setiausaha agung parti dan ketua penerangan berkuatkuasa serta-merta.

Dalam kenyataan di Facebook, Sng berkata Hizwan Ahmad dan Zakaria Abdul Hamid digantung berhubung mesyuarat majlis tertinggi parti pada 7 Okt lepas, yang melantik Zuraida Kamaruddin sebagai presiden.

“Saya hanya dimaklumkan hasil mesyuarat itu selepas ia diadakan. Keputusan mesyuarat itu dikatakan telah melantik Zuraida sebagai presiden, sedangkan jawatan itu tidak pernah dikosongkan,” katanya, yang menambah mesyuarat itu dijalankan tanpa arahannya.

Hizwan dan Zakaria merupakan bekas ahli PKR dan dilihat orang kuat Zuraida.

Sng mengecam tindakan itu sebagai “muslihat politik”, dan berkata ia menjejaskan kepimpinannya dan menimbul kekeliruan dalam kalangan ahli PBM serta masyarakat umum.

“Oleh itu, jawatan mereka akan digantung sehingga jawatankuasa tatatertib ditubuhkan untuk meneliti perkara itu selepas pilihan raya.”

Beliau berkata, Timbalan Setiausaha Agung PBM Jenny Chiew akan menggantikan Nor Hizwan pada masa ini.

Semalam, Sng menegaskan beliau masih presiden PBM dan akan menandatangani surat watikah calon untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menegaskan yang beliau tidak pernah meninggalkan jawatan nombor satu parti, Sng berkata beliau akan bertanding pada PRU15 atas tiket PBM.

Pemimpin dari Sarawak itu sebelum ini menegaskan tiada konflik antara beliau dan Zuraida, dan mahukan peralihan kuasa dijalankan mengikut “prosedur yang betul” bagi mengelak PBM berdepan sebarang masalah dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.