Kamu ‘trojan horse’ sebenar, Wan Fayhsal dibidas

Kamu ‘trojan horse’ sebenar, Wan Fayhsal dibidas

Pemimpin Pemuda Bersatu gesa Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang digantung keahlian berhenti bersikap 'play victim'.

Ketua Pemuda Bersatu Batu Gajah Nadhir Zuhair Nozi dakwa Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempunyai satu lagi pertuduhan di lembaga disiplin berhubung memalsukan tandatangan ketua cawangan di bahagian Machang.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Bersatu Batu Gajah, Nadhir Zuhair Nozi, mendakwa Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal adalah ‘trojan horse’ sebenar yang sedang bekerjasama dengan musuh.

Kenyataan itu menyusul dakwaan Ahli Parlimen Machang dalam The Zaid Ibrahim Podcast, kelmarin, wujud manipulasi dan ‘silap mata’ dalam pemilihan Bersatu tahun lalu.

Nadhir berkata, dakwaan Wan Fayhsal yang digantung keahlian Bersatu selama sepenggal pada 14 Okt lalu berniat jahat dan bertujuan mencemarkan imej parti.

“Pemilihan parti tidak kotor, sebaliknya ia cuba dikotorkan oleh segelintir pemimpin seperti WAF (Wan Fayhsal) yang kononnya bersih, suci dan bijak di sebalik jargon-jargon beliau.

“Barang diingat, WAF digantung keanggotaannya hari ini kerana kes fitnah dilemparkan beliau terhadap kepimpinan parti berhubung politik wang ketika pemilihan parti. Walhal, ianya jelas satu pembohongan. Sebab itu, beliau mengelak untuk hadir menghadap lembaga disiplin sebanyak empat kali atas pelbagai alasan remeh,” katanya dalam kenyataan.

Dalam podcast itu, Wan Fayhsal mendakwa penggantungannya berpunca daripada masalah politik dalaman yang telah lama berlaku, termasuk tindakannya mengkritik secara terbuka proses pemilihan parti yang menurutnya ‘terlalu kotor’ serta banyak berlaku ‘silap mata’.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu digantung keahlian atas kesalahan melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti dan kod etika dan tatakelakuan ahli.

Dalam pada itu, Nadhir mendakwa Wan Fayhsal mempunyai satu lagi pertuduhan di lembaga disiplin berhubung memalsukan tandatangan ketua-ketua cawangan di bahagian Machang.

Dakwanya, Wan Fayhsal sanggup memalsukan tandatangan tanpa pengetahuan ketua-ketua cawangan kerana malu dengan jumlah hanya 26 undi diperoleh dalam pemilihan ketua bahagian Machang.

“Lembaga disiplin wajib menyegerakan kes ini yang jelas tindakan jahat, pembohongan dan jenayah. Kini, beliau mengambil sikap ‘play victim’ dengan membuat pernyataan untuk mengkritik dan merosakkan nama baik Bersatu. Jelas, beliau adalah ‘trojan horse’ sebenar yang sedang bekerjasama dengan pihak musuh.

“Cukuplah bermain dengan sentimen seperti ini. Bila kamu menang dalam pemilihan Armada (Pemuda) yang lalu, semuanya betul belaka. Bila kamu kalah, semua dikatakan salah. Walhal pembohong itu kamu sendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.