Penerbangan digantung, lapangan terbang utama Bangladesh terbakar

Penerbangan digantung, lapangan terbang utama Bangladesh terbakar

Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kecederaan belum didedahkan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal di Dhaka (Gambar EPA Images)
Kepulan asap kelihatan dari luar Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal di Dhaka pada Sabtu. (Gambar EPA Images)
DHAKA:
Kebakaran besar di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal di ibu negara Bangladesh, di sini pada Sabtu menyebabkan semua operasi penerbangan dan pendaratan digantung, lapor Anadolu Ajansi memetik penyiar tempatan.

Asap tebal menyelubungi kawasan sekitar, khususnya di bahagian kargo tempat barangan import disimpan.

Menurut Pusat Media Perkhidmatan Bomba Bangladesh, 36 unit anggota bomba ke lokasi kejadian untuk memadamkan api, manakala lima unit lagi turut dikerahkan bagi membantu operasi.

Tentera darat, udara dan laut Bangladesh turut menyertai usaha memadam kebakaran bersama dua platun Pasukan Pengawal Sempadan.

Laporan televisyen tempatan menyatakan beberapa individu, termasuk anggota bomba cedera ketika operasi menyelamat dijalankan.

Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kecederaan belum didedahkan. Stesen televisyen Channel24 memetik pengawal keselamatan berkata, sejumlah besar pakaian dan barangan lain disimpan di kawasan itu.

Letupan beberapa tin kimia turut kedengaran dan menyebabkan api marak dengan pantas.

Kebakaran pada Sabtu itu berlaku hanya beberapa hari selepas dua kebakaran besar dilaporkan minggu ini, iaitu sebuah kilang pakaian terbakar di kawasan Mirpur, Dhaka yang meragut sekurang-kurangnya 16 nyawa dan sebuah kilang di Zon Pemprosesan Eksport di Chattogram terbakar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.