Berehatlah, Bersatu Dungun gesa Muhyiddin

Berehatlah, Bersatu Dungun gesa Muhyiddin

Bahagian itu juga menggesa Setiausaha Agung Azmin Ali digugurkan dan Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz diganti.

Abdul Aziz Ismail
Ketua Bersatu Dungun, Abdul Aziz Ismail berkata mesyuarat bahagian itu mengusulkan tiga ketetapan utama sebagai langkah memperkukuh serta merejuvenasi parti bagi menghadapi PRU-16. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Satu bahagian Bersatu di Terengganu menggesa presiden parti Muhyiddin Yassin berehat dan Setiausaha Agung Azmin Ali digugurkan, susulan pertelingkahan terbuka antara beberapa pemimpin tertinggi parti itu.

Ketua Bersatu Dungun, Abdul Aziz Ismail berkata isu sedang dihadapi Bersatu kini berpunca daripada tindakan beberapa individu yang dilihat tidak lagi mempunyai relevansi dalam struktur pentadbiran parti.

“Saya berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk Bersatu mengambil langkah berani melaksanakan perubahan strategik demi masa depan parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, bahagian Dungun mengadakan mesyuarat pada 20 Okt lalu dan mengusulkan tiga ketetapan utama sebagai langkah memperkukuh serta merejuvenasi parti bagi menghadapi PRU-16.

“Cadangan pertama, Muhyiddin disarankan mengambil langkah berehat daripada jawatan presiden bagi memberi ruang kepada kepimpinan baharu memperkukuh hala tuju organisasi.

“Cadangan kedua, Azmin Ali dicadang dilepaskan daripada jawatan bagi memulihkan imej serta integriti parti daripada isu-isu moral yang menjejaskan reputasi kepimpinan dan ketiga Tun Faisal Ismail Aziz digantikan dengan ketua penerangan yang lebih proaktif,” katanya.

Kenyataan Aziz itu dibuat sehari selepas Wan Saiful Wan Jan, yang baru-baru ini dipecat Bersatu, menyalahkan beberapa individu rapat dengan Muhyiddin kerana merosakkan hubungan dalam kalangan pemimpin — dengan menamakan Azmin dan Tun Faisal.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu membuat kenyataan tersebut beberapa jam selepas Bersatu melarang ahlinya daripada bertemu atau menghadiri program bersama individu yang dikenakan tindakan disiplin parti.

Sebelum dipecat, Wan Saiful merujuk Azmin dan Tun Faisal kepada lembaga disiplin parti berhubung ancaman yang didakwa dibuat terhadap ketua bahagian, susulan dakwaan wujudnya rancangan menggulingkan Muhyiddin sebagai presiden.

Beliau turut mengkritik keras Azmin, mendakwa bekas menteri besar Selangor itu tidak layak memimpin parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.