Thailand beku perjanjian damai Kemboja selepas 2 cedera kena periuk api

Thailand beku perjanjian damai Kemboja selepas 2 cedera kena periuk api

Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang disokong Presiden Amerika Syarikat Donald Trump itu baru dimeterai bulan lalu.

Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul meminta kementerian luar dan pertahanan mengemukakan aduan kepada pasukan pemerhati. (Gambar EPA Images)
BANGKOK:
Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul mengancam untuk membatalkan perjanjian damai dengan Kemboja yang dimeterai bulan lalu, susulan letupan periuk api mencederakan dua anggota tentera Thailand berhampiran sempadan kedua-dua negara.

Anggota tentera itu terpijak periuk api yang dipercayai baru ditanam ketika menjalankan rondaan rutin pada Isnin di wilayah Si Sa Ket, menurut tentera Thailand.

Ia merupakan insiden letupan ketujuh dalam tempoh empat bulan, susulan siri letupan pada Julai lalu yang mencetuskan pertempuran sempadan paling berdarah dalam beberapa tahun.

Berikutan insiden itu, Anutin berkata Thailand menggantung pelaksanaan Perjanjian Damai Kuala Lumpur, yang disokong Presiden AS Donald Trump, yang menetapkan langkah-langkah pengunduran senjata sebagai sebahagian daripada usaha menormalkan hubungan.

Thailand turut menangguhkan pembebasan 18 anggota tentera Kemboja yang berada dalam tahanan, yang dijadual dibebaskan bermula 21 Nov di bawah syarat perjanjian damai tersebut.

“Segala usaha yang telah kita jalankan setakat ini akan dihentikan sehingga ada penjelasan,” kata Anutin kepada pemberita pada Isnin.

“Apa yang berlaku menunjukkan bahawa permusuhan belum reda seperti yang kita sangka. Jadi kita tidak boleh teruskan dari keadaan ini.”

Perjanjian damai itu menggesa pengunduran senjata berat dari zon sempadan antara 1 Nov dan 31 Dis, serta kerjasama dalam pembersihan periuk api.

Thailand juga meminta Kemboja mengambil tindakan terhadap operasi penipuan siber di negara itu.

Jurucakap kementerian pertahanan Kemboja tidak memberi sebarang komen mengenai kejadian itu.

Perjanjian gencatan senjata awal antara Thailand dan Kemboja itu adalah hasil usaha Malaysia sebagai pengerusi Asean dan Amerika Syarikat.

Menurut kenyataan kerajaan Thailand, Anutin juga mengarah kementerian luar dan pertahanan untuk mengemukakan aduan kepada pasukan pemerhati yang terdiri daripada pegawai tentera dari negara Asia Tenggara.

Anutin dijadual terbang ke Si Sa Ket pada Selasa untuk melawat anggota tentera yang cedera dan mempengerusikan mesyuarat mengenai pendirian Thailand terhadap perjanjian damai itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.