‘Tuduhan orang kecewa’, pemimpin Bersatu nasihat Wan Fayhsal tumpu rayuan

‘Tuduhan orang kecewa’, pemimpin Bersatu nasihat Wan Fayhsal tumpu rayuan

Timbalan Ketua Bersatu Selangor Rafiq Abdullah nasihat Ahli Parlimen Machang tumpu rayuan kepada lembaga disiplin daripada buat kenyataan boleh keruh keadaan.

rafiq abdullah n wan fayhsal
Timbalan Ketua Bersatu Selangor Rafiq Abdullah menafikan dakwaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang Muhyiddin Yassin buat keputusan sendiri.
PETALING JAYA:
Tuduhan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang Muhyiddin Yassin tidak berbincang dengan Majlis Tertinggi Perikatan Nasional sebelum menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dititahkan Agong terdahulu hanya kerana kecewa selepas digantung Bersatu.

Justeru, Timbalan Ketua Bersatu Selangor Rafiq Abdullah menasihatkan Ahli Parlimen Machang tumpu membuat rayuan kepada lembaga disiplin daripada mengeluarkan kenyataan boleh mengeruhkan lagi keadaan.

“Apa patut dia buat sebenarnya ikut lunas perlembagaan. Buatlah rayuan dan mohon maaf kalau sudah buat salah dan terlanjur,” katanya kepada FMT.

Wan Fayhsal digantung keahlian selama sepenggal pada 14 Okt lalu atas kesalahan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu dan kod etika dan tatakelakuan ahli.

Dalam The Zaid Ibrahim Podcast semalam, Wan Fayhsal berkata keputusan itu dibuat segera oleh Muhyiddin yang juga pengerusi PN di hadapan Agong ke-16 selepas beberapa ketua parti termasuk Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim dipanggil menghadap Baginda di Istana Negara pada 22 Nov 2022.

Pada sidang media 22 Nov itu, Muhyiddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menitahkan cadangan supaya PN dan PH membentuk kerajaan perpaduan, selepas menghadap Baginda bersama Presiden PAS Hadi Awang.

Muhyiddin bagaimanapun memaklumkan kepada Baginda, PN tidak mahu bekerjasama dengan PH atas dasar prinsip yang dipegang oleh gabungan itu.

Menafikan dakwaan Wan Fayhsal, Rafiq berkata Muhyiddin tidak akan membuat keputusan sendiri jika melibatkan ‘perkara besar’ untuk PN.

“Saya ketika itu ahli MPT Bersatu. Jika melibatkan benda besar, Muhyiddin tidak pernah buat keputusan seorang. Mesti bincang dengan Hadi dan pimpinan PN.

“Saya rasa dia (Wan Fayhsal) perlu periksa fakta sebelum buat kenyataan. Apa pun kenyataan yang dia buat hanyalah (akan) memburukkan keadaan,” kata bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu, Hilman Idham, menegaskan keputusan PN menolak cadangan tersebut bukan dibuat sebelah pihak, sebaliknya hasil perbincangan bersama dan berpaksikan dasar parti yang tidak mahu mewujudkan kerjasama dengan DAP.

“Rundingan memang telah berlaku antara PN dan Barisan Nasional di St Regis Kuala Lumpur. Tetapi ketika itu BN yang menolak untuk bekerjasama dengan PN. BN memilih bekerjasama dengan PH,” dakwanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.