Jurulatih Kelantan digantung tumbuk pemain Selangor

Jurulatih Kelantan digantung tumbuk pemain Selangor

Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin dan Keselamatan PBMM turut memberi kemenangan kepada Bomba FC yang sedang mendahului 1-0 ketika menentang Perak 12 Okt lalu.

Nazeri Hussin
Setiausaha Agung PBMM Nazeri Hussin berkata mesyuarat pada 14 Okt lalu memutuskan jurulatih penjaga gol skuad Kelantan Wan Kamaluzaman Mohammed digantung daripada menyertai sebarang pertandingan anjuran PBMM bagi musim 2025/2026. (Gambar PBMM)
PETALING JAYA:
Jurulatih penjaga gol skuad Kelantan, Wan Kamaluzaman Mohammed digantung serta-merta kerana menumbuk pemain Selangor dalam aksi Piala Emas Raja-raja 2025 pada 12 Okt lalu.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Nazeri Hussin, berkata mesyuarat Jawatankuasa Disiplin dan Keselamatan pada 14 Okt lalu meneliti laporan rasmi perlawanan ketika aksi Selangor menentang Kelantan dan Perak menentang Bomba FC.

Menurutnya, mesyuarat itu memutuskan Kamaluzaman digantung daripada menyertai sebarang pertandingan anjuran PBMM bagi musim 2025/2026.

“Perlawanan D5 antara Selangor menentang Kelantan menyaksikan kedua-dua pasukan diberikan amaran.

“Perlawanan B5 antara Perak dan Bomba FC menyaksikan kedua-dua pasukan diberikan amaran keras berikutan insiden pergaduhan dan penonton memasuki padang.

“Perlawanan dihentikan pada minit ke-87 disebabkan keadaan tidak terkawal. Jawatankuasa memutuskan memberi kemenangan kepada Bomba FC yang sedang mendahului 1-0 ketika perlawanan dihentikan,” katanya menurut Berita Harian.

Pada 12 Okt lalu, dua video pergaduhan membabitkan dua perlawanan tular di laman sosial, dengan adegan tolak-menolak dan tumbuk-menumbuk antara pemain, manakala pegawai dua pasukan cuba menenangkan keadaan.

Nazeri berkata, PBMM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk keganasan, provokasi atau tingkah laku tidak bersemangat kesukanan dalam pertandingan anjurannya.

“Semua pasukan diingatkan sentiasa mematuhi peraturan serta menjunjung semangat kesukanan dan disiplin sepanjang kejohanan berlangsung.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.