Penilaian fizikal, harga 36 pesawat tempur ringan selesai

Penilaian fizikal, harga 36 pesawat tempur ringan selesai

Menteri Pertahanan sementara Hishammuddin Hussein berkata pihaknya sedang menunggu keputusan Kementerian Kewangan.

Hishammuddin Hussein bergambar dengan kumpulan pertama Pasukan Pengaman Batalion Malaysia ke Lubnan, di Pangkalan TUDM Subang hari ini.
PETALING JAYA:
Kementerian Pertahanan telah menyerahkan laporan perolehan 36 pesawat tempur ringan (LCA) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kepada Kementerian Kewangan untuk tindakan lanjut.

Menteri Pertahanan sementara, Hishammuddin Hussein berkata, penilaian fizikal dan rundingan harga sudah selesai dan hanya menunggu keputusan Kementerian Kewangan.

“Memang kita perlukan LCA dan percaya tidak akan timbul masalah sekiranya saya guna kaedah sebelum ini, iaitu aset yang ditentukan oleh ‘end user’ sendiri (TUDM), ini janji saya kepada Air Force.”

Beliau dipetik Bernama selepas menghadiri Majlis Pemakaian Beret, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran kumpulan pertama Pasukan pengaman Batalion Malaysia (Malbatt 850-10) Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unifil) ke Lubnan, di Pangkalan TUDM Subang.

Mengenai dakwaan tiada lawatan penilaian yang dibangkitkan pembida tender perolehan LCA itu, beliau berkata, perkara itu akan dibangkitkan, terutama menjelang pilihan raya umum (PRU).

“Kalau ingin menuduh perlu sertakan bukti, kalau salah tetap salah, jadi panjangkan bukti kepada agensi berkaitan biar mereka siasat.”

Sejumlah lapan syarikat antarabangsa dilaporkan membida tender pembekalan 36 jet LCA TUDM setakat ini.

Perolehan LCA menggantikan lima jet LCA dua kerusi model BAE System Hawk Mk 108 dan 13 model Mk 208 kerusi tunggal buatan Britain yang digunakan lebih sedekad lalu, selain turut melibatkan penggantian tujuh jet latihan penggempur (FLIT) model Aermacchi MB-339CM buatan Itali yang kini ditempatkan di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, seramai 854 anggota dan pegawai menyertai Malbatt 850-10 untuk menjalani misi pengaman Unifil secara berperingkat selama setahun. Mereka akan ditempatkan di Kem Ma’rakah dan Kem Tibnin.

Hishammuddin berkata, misi Unifil kali ini diketuai Mohd Rizman Ramli selaku komander dan akan disertai 30 pegawai dan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang menampilkan dua anggota wanita ABDB buat pertama kali dalam misi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.