Firma gagal hantar Black Hawk dapat kontrak tentukur pangkalan udara tentera, kata sumber

Firma gagal hantar Black Hawk dapat kontrak tentukur pangkalan udara tentera, kata sumber

Kerajaan membatalkan kontrak sewa Black Hawk bernilai RM187 juta dengan Aerotree Defense and Services Sdn Bhd tahun lalu selepas tiga kali penangguhan.

Sikorsky UH-60A Black Hawk
November lalu, Kementerian Pertahanan membatalkan sewaan empat helikopter Sikorsky UH-60A Black Hawk daripada Aerotree Defense and Services Sdn Bhd kerana gagal menghantar pesawat terbabit. (Gambar Aerotree Defence and Services)
PETALING JAYA:
Persoalan timbul susulan keputusan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memberikan kontrak baharu kepada syarikat gagal menghantar empat helikopter Sikorsky UH-60A Black Hawk hampir lapan bulan lalu.

Menurut sepucuk surat, Aerotree Defense and Services Sdn Bhd diberikan kontrak menentukur peralatan sistem pendaratan instrumen bagi pesawat sayap tetap di tiga pangkalan udara tentera baru-baru ini.

November lalu, Kementerian Pertahanan membatalkan kontrak sewaan Black Hawk bernilai RM187 juta yang dimeterai dengan Aerotree atas kegagalannya menghantar pesawat itu selepas tiga kali penangguhan.

Empat helikopter yang disewa selama lima tahun itu sepatutnya berfungsi sebagai platform kepada Tim Nukleus Pasukan Udara Tentera Darat bagi menyokong latihan dan misi penerbangan operasi.

Menurut sumber, beliau “terkejut” mengetahui pemberian kontrak kepada syarikat itu, hanya lapan bulan selepas “kegagalannya” menghantar helikopter Black Hawk.

“Kementerian Pertahanan perlu memberi penjelasan kerana kami difahamkan pada mulanya firma lain diberikan kontrak penentukuran itu, tetapi ia tiba-tiba hilang,” kata sumber itu kepada FMT.

FMT tidak mendedahkan nama syarikat kedua sementara menunggu ulasan.

Tujuh bulan lalu, Menteri Pertahanan, Khaled Nordin dilaporkan berkata, perjanjian kerajaan dengan Aerotree dibatalkan selepas syarikat itu gagal membuat penghantaran pada tarikh akhir Oktober lalu.

FMT sudah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Aerotree, Halim Othman dan TUDM untuk mengulas.

Pesawat dan kru asing

Seorang lagi sumber mempersoalkan identiti pesawat dan kru udara terbabit kerja penentukuran padang terbang di Labuan, Butterworth serta Gong Kedak.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Aerotree atau syarikat penentukuran berpangkalan di United Kingdom memiliki sijil pengendali udara (AOC) Malaysia yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Katanya, TUDM perlu menjelaskan perkara itu, termasuk sama ada kru udara memiliki permit kerja sah untuk bekerja di negara ini.

Menurutnya, jaminan itu perlu kerana warga asing yang masuk dan keluar dari pangkalan udara Malaysia akan menimbulkan risiko keselamatan.

Beliau mendakwa penerbangan penentukuran bermula 16 Jun lalu dan dijangka siap selewat-lewatnya hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.