
Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam kenyataan berkata pesawat ATR-72 itu diyakini dapat mempertingkat kesedaran domain maritim melalui rondaan udara berterusan di laluan strategik di Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu.
“Kelulusan perolehan dua buah pesawat MPA Fasa 1 ini diperoleh di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia ke-12 dengan peruntukan sebanyak RM899 juta.
“Ia salah satu usaha untuk memperkukuhkan pertahanan maritim Malaysia, khususnya dari segi keupayaan melaksanakan Maritime Air Operation (MAO) dan Intelligence Surveillance and Reconnaissance (ISR),” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena lawatan kerja Menteri Pertahanan Khaled Nordin ke Turin, Itali pada 11 dan 12 Mei bagi memantau dan mendapat gambaran menyeluruh berkaitan kemajuan projek perolehan dua pesawat itu.
Mindef berkata itu perolehan pesawat itu hasil daripada pemeteraian perjanjian perolehan ketika pameran Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (Lima) yang ke-16 di Langkawi pada Mei 2023.
Menurutnya, TUDM memerlukan enam buah MPA menjelang 2035 yang mana perolehannya menerusi tiga fasa, berpandukan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).
Dalam pada itu, Mindef berkata lawatan itu juga penting untuk mengadakan perjumpaan dengan pengurusan Leonardo S.p.A bagi meneroka ruang kerjasama bersama baharu selain mengukuhkan hubungan pertahanan dua hala antara negara.

“Lawatan menteri pertahanan ke Itali menzahirkan komitmen dan tanggungjawab kerajaan dalam memastikan projek bernilai tinggi disiapkan mengikut jadual, spesifikasi dan kualiti yang ditetapkan,” katanya.
Turut hadir Panglima Tentera Udara, Asghar Khan Goriman Khan; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Yani Daud serta Pengarah Urusan Aeronautics Division, Stefano Bortoli.