TUDM gantung sementara operasi pesawat F/A-18D

TUDM gantung sementara operasi pesawat F/A-18D

Panglima TUDM Muhamad Norazlan Aris berkata lembaga penyiasat juga ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kemalangan jet itu malam tadi.

Panglima Tentera Udara, Muhammad Norazlan Aris meninjau lokasi kemalangan pesawat F/A-18D di Pangkalan Udara Kuantan hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tentera udara (TUDM) menggantung sementara operasi semua pesawat F/A-18D miliknya susulan kemalangan melibatkan jet tempur model itu di Pangkalan Udara Kuantan, malam tadi.

Panglima TUDM, Muhamad Norazlan Aris berkata lembaga penyiasat yang dianggotai pegawai kanan TUDM dengan pihak berkaitan juga ditubuhkan untuk mengenal pasti punca kejadian itu, lapor Berita Harian.

“Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dijangka mengambil masa dua minggu,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Norazlan juga berkata lembaga siasatan juga akan menyiasat sama ada kemalangan itu berpunca daripada terlanggar burung atau benda asing lain.

“Siasatan menyeluruh sedang dilakukan dan disahkan pesawat digunakan sejak 1997 itu rosak keseluruhan,” katanya.

Beliau turut mengesahkan juruterbang pesawat, Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34, dan jurusensor pesawat, Mohamad Izzudin Mohamad Salleh, 28, dari 18 Skuadron Butterworth, Pulau Pinang sudah dibenarkan keluar dari hospital.

TUDM malam tadi memaklumkan bahawa insiden membabitkan pesawat F/A-18D Hornet berlaku pada 9.05 malam di landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, yang turut berkongsi fasiliti dengan pangkalan udara.

New Straits Times melaporkan, juruterbang dan pegawai sistem senjata pesawat itu berjaya keluar menggunakan kerusi anjal dengan selamat.

Satu video tular merakamkan pesawat itu terbakar sejurus selepas berlepas.

TUDM kini mengoperasikan lapan buah pesawat F/A-18D Hornet yang mula diterima pada 1997 dan terus digunakan sehingga kini

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.