
Mazlan Abdullah, 61, yang ketika itu berada di kedai makan berhadapan pangkalan udara itu berkata, dia mendengar dua kali letupan dan turut melihat cahaya api dari kawasan berkenaan.
“Selepas bunyi letupan, saya dapat melihat api dalam kawasan lapangan terbang dan asap berkepul-kepul. Orang ramai yang berada di kawasan berdekatan juga cuba pergi melihat apa yang berlaku.
“Ketika saya melihat ke lapangan terbang, ada api sedang marak, tetapi selepas letupan kedua, api lebih marak dan ada juga bau hangit,” kata pekerja kontrak itu malam tadi.
Jurutera elektrik, Khairul Azli Syahmie Abdul Aziz, 26, pula berkata dia turut mendengar bunyi letupan dari rumahnya kira-kira 500m hingga 1km dari tempat kejadian, namun tidak mengendahkannya kerana menyangkakan pasukan TUDM sedang menjalani latihan.
“Bila saya tengok dalam media sosial ada jet pejuang jatuh, tetapi saya tak pergi tengok (di luar) sebab saya dan isteri ingat itu adalah latihan tentera. Kadang-kadang askar ada buat latihan dekat sini, sebab itu kami dah biasa dengar.”
Beliau berkata, jiran di kawasan kediamannya di Pandan Perdana turut keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku, sejurus mendengar bunyi letupan itu.
Terdahulu, sebuah pesawat tempur F/A-18D Hornet milik TUDM terlibat kemalangan di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah (Pangkalan Udara Kuantan) pada 9.05 malam tadi.
Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman yang mengesahkan insiden itu berkata, seorang juruterbang dan pembantu juruterbang TUDM dilaporkan selamat.