Buat siasatan menyeluruh kemalangan jet tempur TUDM, kata Anwar

Buat siasatan menyeluruh kemalangan jet tempur TUDM, kata Anwar

Perdana menteri berkata ia bagi mengenalpasti punca kejadian dan memastikan langkah-langkah keselamatan sewajarnya diambil.

pesawat tempur tudm terbakar
Tangkap layar video tular menunjukkan jet tempur milik TUDM terbakar sejurus berlepas Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh kejadian kemalangan membabitkan sebuah jet tempur milik tentera udara (TUDM) di Kuantan, Pahang malam tadi.

“Ia bagi mengenalpasti punca kejadian dan memastikan langkah-langkah keselamatan sewajarnya diambil,” katanya dalam satu hantaran di X.

TUDM malam tadi memaklumkan bahawa insiden membabitkan pesawat F/A-18D Hornet berlaku pada 9.05 malam di landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, yang turut berkongsi fasiliti dengan pangkalan udara.

New Straits Times melaporkan, juruterbang dan pegawai sistem senjata pesawat itu berjaya keluar menggunakan kerusi anjal dengan selamat.

Ketua polis Pahang, Yahaya Othman, mengesahkan kedua-duanya berada dalam keadaan selamat dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk pemeriksaan.

Satu video tular merakamkan pesawat itu terbakar sejurus selepas berlepas.

Perdana menteri turut menzahirkan simpati terhadap juruterbang dan pegawai sistem senjata yang terlibat dalam kejadian itu.

“Saya mendoakan agar kedua-dua anggota yang cedera diberi kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan rawatan serta pemulihan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.