
Antara yang terawal ialah mendiang Jaswant Singh dari Tentera Udara Simpanan Malaya, dipercayai juruterbang pertama yang menerbangkan Tunku Abdul Rahman, perdana menteri pertama negara.
Sehingga kini, ramai Sikh telah meninggalkan legasi dalam angkatan tentera, dengan lima orang mencapai pangkat brigedier jeneral. Namun, hanya seorang sahaja yang mencapainya dalam TUDM.
Ranjit Singh Gill, 78, berkhidmat selama 36 tahun sebagai juruterbang helikopter TUDM sebelum bersara pada 2003. Dengan pencapaian cemerlang sepanjang kerjayanya, beliau kekal sebagai Sikh pertama dan satu-satunya dalam TUDM yang mencapai tahap itu.

Beliau menyertai TUDM pada 1968, sedekad selepas ia ditubuhkan. Sepanjang kerjayanya, beliau merekodkan lebih 3,500 jam penerbangan serta pengalaman luas dalam operasi ketenteraan.
Bercakap kepada FMT Lifestyle, Ranjit yang dibesarkan di Kuala Lumpur mengimbas bagaimana beliau memilih jalan hidupnya.
“Saya pada mulanya mahu belajar perubatan, tetapi ibu bapa tidak mampu,” katanya. Mahu kerjaya yang dihormati masyarakat, beliau memilih untuk menyertai angkatan tentera.
Selepas melihat iklan akhbar untuk menyertai tentera udara, beliau beberapa kali memohon sebelum akhirnya diterima.
“Sebagai juruterbang helikopter, saya banyak terlibat di Sabah, Sarawak dan Semenanjung beroperasi di kawasan panas komunis seperti Gerik serta Sibu.

“Ia sangat bermakna kerana kami membantu mempertahankan negara secara tidak langsung dengan menyokong pasukan tentera dan pasukan polis hutan.”
Ranjit terbabit dalam penugasan menggerakkan anggota, menghantar bekalan makanan kepada tentera serta melakukan pemindahan kecemasan.
Beliau bersyukur kerana menamatkan kerjayanya tanpa sebarang kemalangan, sambil mengenang beberapa rakan seangkatan yang terkorban akibat nahas atau ditembak komunis.
Misinya bukan sekadar operasi ketenteraan: beliau juga menerbangkan orang awam dalam misi menyelamat. “Ketka itu, hanya TUDM ada pesawat, tidak seperti hari ini di mana bomba dan polis turut memilikinya,” jelasnya.
Antara pengalaman tidak dapat dilupakan apabila menyelamatkan seorang wanita hamil dalam kecemasan di Segamat, Johor.

“Kami mendarat di kampung dan diberitahu pesakit tidak dapat dibawa keluar kerana kawasan itu terputus akibat banjir.
“Selepas dapat maklumat daripada penduduk, kami terbang semula pada waktu malam, dalam gelap, tiga hingga empat batu ke arah timur laut dari kampung itu. Akhirnya, kami nampak ramai orang melambai lampu suluh.
“Bila hendak mendarat, kawasannya terlalu sempit. Saya hanya dapat meletakkan roda utama di tanah manakala roda ekor tergantung di atas air banjir.”
Misi itu bukan sahaja menyelamatkan nyawa ibu dan anak, malah membawa kepada pelbagai anugerah dan pingat buat Ranjit.
‘Saya berkhidmat untuk negara’
Beliau berkongsi bahawa kenaikan pangkatnya turut didorong oleh latihan intensif yang dijalaninya di New York dan United Kingdom.

Peristiwa membanggakan komuniti Sikh tercipta apabila beliau dinaikkan pangkat setahun sebelum bersara dan dikurniakan gelaran Dato’ oleh Sultan Pahang.
Bagi Ranjit, lebih bermakna apabila beliau menjadi satu-satunya jeneral berserban dalam angkatan tentera. “Itulah identiti kami. Mereka kata seorang Sikh boleh dikenali dalam ribuan orang kerana serbannya.”
Walaupun uniformnya sudah digantung, semangatnya kekal. “Saya ada pilihan untuk bersara awal, tetapi saya kata tidak, saya akan terus berkhidmat hingga umur wajib bersara kerana semangat patriotisme.
“Menyertai tentera udara bermakna kami melakukan sesuatu yang baik untuk pertahanan negara.
Sebab itu bila orang tanya, ‘berapa lama kamu bekerja dalam tentera udara?’, saya tidak kata saya bekerja. Saya kata saya berkhidmat untuk negara,” katanya,