
Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata terpulang kepada mana-mana pihak yang ingin membuat ceramah politik selagi mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.
“Ceramah ini boleh berlaku bila-bila masa. Cuma mesti ikut SOP polis.
“Bila nak kumpul sama ada (untuk) ceramah politik ada SOP dia. Bukan hanya ditentukan masa pilihan raya,” katanya pada sidang media di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Beliau berjaya demikian ketika ditanya sama ada kempen ceramah politik dibenarkan masa ini walaupun SPR belum mengumumkan tarikh-tarikh penting PRU15.
Dalam perkembangan lain, Hamzah tidak setuju kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi bahawa PRU15 adalah ‘ibu’ segala pilihan raya.
Beliau melihat PRU15 ini biasa sahaja dan setiap parti politik perlu sedia bila-bila masa.
“Saya dengar presiden Umno kata pilihan raya kali ini adalah ‘ibu’ segala pilihan raya.
“‘Ibu’ atau ‘ayah’ (pilihan raya) tidak penting. Yang penting kena sedia,” katanya.
Baru-baru ini, Zahid dalam himpunan MIC yang ke-76 berkata PRU akan datang yang belum ditetapkan tarikhnya oleh SPR adalah ‘ibu’ segala PRU di negara ini.