Tak nampak pula Hamzah

Tak nampak pula Hamzah

Hamzah Zainudin kebelakangan ini seakan 'under the radar, lie low' sejak dua individu dalam Bersatu dikatakan orangnya dikenakan tindakan disiplin oleh parti.

Mohsin Abdullah

Muhyiddin Yassin kongsikan videonya di Facebook Isnin lalu menunjukkan beliau menghadiri rumah terbuka Timbalan Presiden MIC M Saravanan sempena Deepavali.

‘Happy dan relax’ nampaknya si bekas perdana menteri. Hadir sama seorang lagi bekas PM – Ismail Sabri Yaakob. Segak dengan baju tradisional India berwarna kuning. Siap dengan vest. Maaf saya tidak tahu apa masyarakat India panggil ‘vest’. Apa pun cukup ‘elegant’.

Mukhriz Mahathir, presiden Pejuang pun ada. Ayah beliau bagaimanapun tidak hadir. Mukhriz seperti Muhyiddin berbaju batik. Presiden MCA Wee Ka Siong dan Hishammuddin Hussein yang keahlian Umno digantung enam tahun tidak dilihat dalam video dimuat naik Muhyiddin. Biasanya kedua-dua hadir apa-apa ‘gathering’ bersama personaliti disebut tadi.

Kecuali Mukhriz, semua mereka pernah menganggotai Kabinet Muhyiddin, juga Ismail. Begitu juga tuan rumah. ‘What do they have in common?’ Mereka bukan peminat PMX – sekali gus Pakatan Harapan dan kerajaan Madani.

Tapi nanti. Jangan salah sangka. ‘Gathering’ di rumah Saravanan Isnin lalu bukan pertemuan politik bertujuan merangka dan merancang.

Bak kata Wee ini amalan lazim setiap tahun apabila ada keramaian. ‘To continue the tradition of visiting one another and celebrating our diversity together’. Rupanya Wee juga hadir. Beliau ‘post’ di Facebook gambarnya bersama tetamu Saravanan.

Kata Wee, turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir. Umum tahu beliau juga ialah setiausaha agung BN. Seorang lagi menteri yang hadir ialah Tengku Zafrul Aziz.

Senarai tetamu juga termasuk Khairy Jamaluddin (‘stylo’ juga dengan baju tradisional India) dan Rosmah Mansor (tidak perlu saya perkenalkan siapa beliau) yang diberi penghormatan memotong kek bersama Presiden MIC SA Vikneswaran.

Ooo…ada lagi tetamu. Macam mana saya boleh hampir tertinggal nama besar yang hadir. Saya maksudkan Azmin Ali yang juga memakai kurta labuh. Saravanan memang akrab dengan beliau.

Dua hari sebelum Deepavali, Saravanan mengiringi Azmin ke ‘Little India’ Brickfields di mana setiausaha agung Perikatan Nasional itu merasmikan pembukaan premis perniagaan emas.

Tidak jauh dari lokasi itu berlangsung majlis rumah terbuka Deepavali peringkat kebangsaan yang dirasmikan perdana menteri. Berada di sana menteri dan pemimpin PH bersama masyarakat India. Tidak pasti sama ada pemimpin MIC turut hadir.

Perasmian kedai emas oleh Azmin mencuri perhatian kerana menjadi pentas pertemuan setiausaha agung PN dengan timbalan presiden MIC daripada blok politik berbeza ketika hubungan MIC dengan BN dilihat ‘tegang’.

Lantas bukanlah pelik Azmin hadir pula majlis rumah terbuka Saravanan 48 jam kemudian. Bagaimanapun, orang besar Bersatu Hamzah Zainudin tidak kelihatan di kediaman Saravanan.

Presiden Bersatu (Muhyiddin) ada, setiausaha agung Bersatu (Azmin) ada tetapi timbalan presiden Bersatu (Hamzah) tidak ada. Begitu juga pemimpin PAS – parti yang menjadi tunggak PN dikatakan menyokokong Hamzah untuk menggantikan Muhyiddin duduk jawatan pengerusi PN.

Mungkin mereka hadir tetapi saya yang tidak tahu akan kehadiran mereka. Maaf jika terlepas pandang. Namun, jika mereka tidak hadir sekali pun pasti ada sebabnya. ‘After all it’s a social event’. Apa pun tidak dapatlah mereka menikmati ‘mutton varuval’ sajian Saravanan.

Bercakap mengenai Hamzah – beliau kebelakangan ini seakan ‘under the radar, lie low’, sejak dua individu dalam Bersatu yang dikatakan orangnya dikenakan tindak disiplin oleh parti.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dipecat manakala Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung keahlian.

Dua-dua Wan – terutama Wan Fayhsal cukup aktif membuat pelbagai pendedahan atau lebih tepat buka pekung Bersatu melalui kenyataan dan beberapa podcast yang menjemputnya jadi tetamu.

Namun, seperti dikata tadi Hamzah berada bawah radar atau kelihatan begitu dan sekurang-kurangnya buat masa ini. Lantas saya ulangi pertanyaan yang pernah diaju Ketua Penyelidik Ilham Centre Yusri Ibrahim: “Adakah blok timbalan presiden akan berdiam diri dan reda Wan Saiful dikorbankan? Atau mereka akan mengatur gerak baharu?”

Pertembungan dalam Bersatu ialah antara blok Hamzah dengan blok Azmin. Lalu saya ulangi juga apa yang ditulis pada artikel 15 Okt lalu memetik aktivis media Fathi Aris Omar berkata: “Hamzah Zainudin mesti bertindak segera. Jika perlu minta bantuan, panggil jentera PAS untuk tolong sekat kemaraan pencabarnya.”

Adakah itu telah atau sedang dilakukan Hamzah? Adakah PAS bersedia campuri masalah dalaman Bersatu? Jika masuk campur boleh menang tak? Boleh letak Hamzah sebagai presiden Bersatu? Azmin akan bertindak bagai hulubalang mempertahankan Muhyiddin?

Tentu ramai tidak lupa gandingan Azmin – Muhyiddinlah yang menggerak dan menjayakan ‘Langkah Sheraton’ yang menyaksikan perdana menteri waktu itu Dr Mahathir Mohamad tersungkur.

Tidak perlu jadi ‘political scientist’ untuk tahu seandainya Muhyiddin undur Azmin akan menawarkan diri untuk jadi presiden. Ringkasnya Azmin lawan Hamzah. Siapa boleh menang?

Hamzah dan Azmin – kedua-duanya bukan asal Bersatu. Ertinya bukan ahli parti semasa Mahathir tubuh Bersatu dulu. Hamzah orang Umno yang lompat ke Bersatu apabila Umno /BN hilang kuasa pada PRU14 tahun 2018. Azmin pula datang daripada PKR dengan rombongannya. Jika tanya Azmin jawapannya ialah beliau dan orangnya keluar PKR. Jika tanya PKR kata mereka Azmin disingkir.

Apa pun – Hamzah ada penyokongnya dalam Bersatu. Begitu juga Azmin meskipun dilihat orang baru dalam Bersatu. Penyokong siapa lebih ramai?. Setakat ini, Azmin dilihat lebih licik mengorak langkah dengan memanfaatkan jawatan setiausaha agung berbanding timbalan presiden.

Kata seorang kenalan yang duduk dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu semasa Mahathir memegang jawatan pengerusi – apa yang sedang terjadi ialah ‘the beginning of the end’.

Saya ingin menambah – mungkin juga permulaan berakhirnya Perikatan Nasional. Maksud saya PAS dan Bersatu membawa haluan masing-masing.

Ini saya kata jika Wan Fayhsal menyertai PAS. Beliau tidak menolak kemungkinan itu bersama kumpulan penyokong Hamzah. Lalu jika ini terjadi Bersatu akan dikuasai Muhyiddin dan Azmin pada satu pihak. Manakala Wan Fayhsal dan pasukan dalam PAS di satu pihak. Tentu akan ada beberapa hal atau masalah yang mesti ditangani jika penghijrahan itu berlaku. Ini kita cerita bila atau jika ia benar terjadi.

Kata Wan Fayhsal, karakter serta kepimpinan Hamzah disenangi PAS. Oleh itu, persoalan penting adakah Hamzah akan ikut serta masuk PAS atau PAS tetap memerlukannya dalam Bersatu, untuk melakukan sesuatu?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.