Tolak PRU15 tahun ini dalam mesyuarat Kabinet, Muhyiddin beritahu menteri PN

Tolak PRU15 tahun ini dalam mesyuarat Kabinet, Muhyiddin beritahu menteri PN

Hari ini, Ismail Sabri Yaakob berkata, perdana menteri mempunyai kuasa mencadangkan pembubaran Parlimen selain menyatakan parti politik lain tidak berhak bersuara dalam perkara itu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, meminta semua menteri dari gabungan itu mempertegaskan pendirian menolak pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tahun ini, selain menumpukan terlebih dulu kepada pemulihan negara.
PETALING JAYA:
Muhyiddin Yassin meminta semua menteri dari Perikatan Nasional (PN) tegas menolak pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini, dalam mesyuarat Kabinet.

Beliau yang juga pengerusi PN, berkata tidak wajar PRU15 dibuat tahun ini juga memandangkan monsun timur laut akan bermula tidak lama lagi dengan banjir dijangka melanda terutama di negeri Pantai Timur.

“Rakyat sedang terbeban dengan masalah inflasi, kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit di samping proses pemulihan negara yang masih perlahan.
Penyelesaian kepada permasalahan ini mesti diberikan tumpuan sepenuhnya oleh kerajaan terutama menerusi Bajet 2023.

“Anggota Jemaah Menteri dari parti PN telah diminta untuk mempertegaskan pendirian ini di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan.

Muhyiddin ketika mengulas lanjut, berkata pendirian sama juga diminta diambil oleh semua Ahli Parlimen gabungan itu.

Hari ini, Ismail Sabri Yaakob berkata, perdana menteri mempunyai kuasa untuk mencadangkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada (PRU15) diadakan.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis, Ismail berkata, parti politik lain tidak berhak untuk bersuara dalam perkara itu.

“Sebelum ini, ia (pembubaran) tidak pernah dibincangkan secara terbuka. Dulu perdana menteri umum Parlimen akan dibubarkan dan ia akan dibubarkan.

“Tidak ada perkara seperti parti politik lain memberikan pandangan mereka atau cuba campur tangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.