
Arahan tersebut dinyatakan dalam surat edaran bertarikh 31 Okt ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, selaras pendekatan pentadbiran kerajaan Madani sejak November 2022 yang menekankan suasana kerja lebih fleksibel dan mesra rakyat tanpa menjejaskan profesionalisme penjawat awam.
“Dalam mengambil kira realiti iklim tempatan serta keperluan langkah kecekapan dan penjimatan tenaga mengikut Surat Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2014, kerajaan bersetuju agar semua pegawai awam tidak lagi diwajibkan memakai tali leher semasa bekerja dan ketika menghadiri mesyuarat,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata pemakaian tali leher masih diwajibkan bagi majlis rasmi tertentu seperti sambutan ketibaan ketua delegasi asing ke negara ini, serta mesyuarat, kolokium atau persidangan antarabangsa yang melibatkan pemimpin atau pembesar dari luar negara.
Selain itu, kementerian atau jabatan juga boleh menetapkan keperluan pemakaian tali leher bagi majlis atau program tertentu, dengan syarat perkara tersebut dinyatakan dengan jelas dalam surat atau e-mel jemputan bagi mengelakkan kekeliruan.
JPA turut memaklumkan selaras ketetapan baharu itu, kewajipan pemakaian tali leher seperti dinyatakan dalam Perenggan A.5 Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian UP.7.2.3 mengenai Etiket Pakaian dan Penampilan Pegawai Awam kini dikecualikan daripada pelaksanaan.