
Sepanjang dua hari persidangan di Kuala Lumpur, perbincangan bukan sahaja berkisar keselamatan rantau, tetapi pengukuhan hubungan pertahanan Asean dengan rakan dialog seperti China, India, Jepun dan Amerika Syarikat.
Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, berkata kepengerusian Malaysia berteraskan prinsip pemusatan Asean dan semangat kerjasama kolektif bagi memastikan rantau ini kekal aman, makmur dan stabil.
“ADMM dan ADMM-Plus ini bukan sekadar tempat menteri-menteri pertahanan berjumpa. Ia platform untuk kita bincang isu serius dan sensitif supaya semua negara faham pendirian masing-masing.
“Memang ada perbezaan pandangan, tapi yang penting semua pihak bersikap jujur dan terbuka. Setiap negara ada cabaran dan kebimbangan tersendiri, dan inilah fungsi mesyuarat – sebagai ruang mengurus perbezaan demi keamanan serantau,” katanya dalam sidang media.

Antara sumbangan utama Malaysia tahun ini ialah penggubalan Deklarasi Bersama Kuala Lumpur mengenai Perpaduan Asean untuk Keselamatan dan Kemakmuran yang diserahkan kepada Setiausaha Agung Asean, Kao Kim Hourn.
Penyerahan rasmi deklarasi itu menandakan komitmen Malaysia dalam memperkukuh peranan Asean sebagai blok serantau yang bersatu, stabil dan makmur menjelang 2045.
Selain itu, Malaysia memeterai perjanjian kerjasama pertahanan dengan Timor-Leste yang memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan pertahanan seiring penyertaan negara tersebut ke dalam keluarga Asean.
Hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) terus diperkukuh dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) kerjasama pertahanan bagi mempertingkat latihan, pertukaran kepakaran serta pembangunan keupayaan dalam keselamatan dan pertahanan maritim.
AS turut menegaskan komitmen terhadap Asean melalui pendekatan ‘peace with strength’, dengan menawarkan sokongan untuk membantu negara anggota menghadapi cabaran keselamatan seperti di Laut China Selatan.
Dalam pertemuan tidak rasmi bersama China, Khaled menekankan kepentingan kerjasama untuk memastikan Asia Tenggara kekal selamat dan stabil, sebagai rantau perdagangan utama yang membawa manfaat kepada semua termasuk China.
Sebagai rakan penting Asean, beliau menyeru negara itu terus menjunjung undang-undang antarabangsa dan mengelak sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan atau konflik di rantau ini.

Dialog bersama India pula memberi tumpuan kepada peningkatan kerjasama dalam pelbagai bidang merangkumi kepakaran dalam sains, teknologi dan inovasi.
“Kita berterima kasih kepada menterinya kerana berkongsi pelbagai rancangan untuk memperkukuh hubungan India-Asean seperti kerjasama dalam bidang keselamatan maritim, pertahanan siber, inovasi industri pertahanan, pemindahan teknologi, kerjasama badan pemikir serta pembangunan bakat generasi baharu,” kata Khaled.
Sementara itu, beliau berkata menerusi pertemuan bersama Jepun, dua kerangka kerjasama baharu dibentangkan negara berkenaan termasuk Japan Asean Ministerial Initiative for Enhanced Defence Cooperation (Jasmin) dan One Cooperative Effort Among Nations (Ocean).
Kedua-dua kerangka itu menumpukan kepada pembangunan keupayaan pertahanan negara anggota, termasuk dalam bidang bantuan kemanusiaan dan pertolongan bencana (HADR) serta keselamatan maritim.
Dalam sidang penutup ADMM ke-19 dan ADMM-Plus kali ke-12, Malaysia secara rasmi menyerahkan tugas pengerusi kepada Filipina bagi edisi seterusnya pada 2026.