
Presidennya, Muhyiddin Yassin, berkata persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat MPT Bersatu malam tadi, di mana semua ahli sepakat segala isu berbangkit serta pertikaian sebelum ini perlu dihentikan segera supaya tumpuan parti kekal kepada kebajikan rakyat serta persiapan menghadapi pilihan raya.
“Mesyuarat berjalan dengan aman dan sempurna dengan kesemua ahli bersepakat mencari jalan secepat mungkin untuk kembali bertaut sebagai satu jemaah yang cukup padu dan kuat.
“Kami bersetuju untuk mengelakkan apa-apa tindakan atau pihak-pihak tertentu. Bilangannya tak ramai tetapi riuhnya macam seluruh kampung dengar. Kami sedar perkara itu dan kami bersetuju tadi ini kena diberhentikan.
“Tidak ada lagi apa-apa yang harus dibangkitkan. Itu yang pertama dan kami akan ambil langkah-langkah susulan mulai daripada hari ini untuk segera laksanakan perkara itu,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPT.
Bersatu berdepan kemelut dalaman yang semakin memuncak susulan pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kerana didakwa melanggar perlembagaan dan tatakelakuan parti.
Lembaga disiplin parti turut menyingkirkan empat ketua bahagian iaitu Azrudin Idris (Hang Tuah Jaya), Faizal Asmar (Pengerang), Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Isa Saidi (Ampang).
Tindakan tersebut menimbulkan kegelisahan dalam kalangan ahli, mendorong 16 Ahli Parlimen Bersatu mengutus surat bertarikh 23 Okt mendesak Muhyiddin menangani ‘isu dalaman’ bagi mengelakkan parti ‘menjadi mangsa ego mana-mana pemimpin’.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata parti itu telah memuktamadkan pembahagian kerusi yang akan ditandingi di Sabah dengan rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) termasuk PAS dan Gerakan.
“Saya akan berada di Sabah pada 7 Nov ini bagi melancarkan jentera pilihan raya PN sebelum mengumumkan senarai calon pada 11 Nov nanti,” katanya.