
Katanya, komunikasi antara kerajaan dan media harus dijalankan secara saling menghormati bagi memastikan maklumat disampaikan tepat serta tidak menimbulkan kekeliruan.
Kenyataan itu menyusul tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang didakwa mempersoalkan soalan pengamal media dalam sebuah majlis, Rabu lalu.
Mengulas lanjut, menteri komunikasi berkata isu tersebut dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Beliau turut menyatakan pendirian kerajaan, wartawan berhak bertanya apa jua soalan dalam menjalankan tugas.
“Saya telah berhubung dengan menteri berkaitan (mengenai) isu ini, dan beliau telah berikan penjelasan,” katanya pada sidang media di Kementerian Komunikasi.
Dalam program prapelancaran projek ‘I Lite U’, diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, seorang wartawan bertanya mengapa tema projek itu menggunakan bahasa Inggeris.
Nga menjelaskan ia acara pelancongan, penggunaan bahasa Inggeris lebih sesuai bagi menarik pelancong antarabangsa.
Namun, pemimpin DAP itu kemudian memberitahu wartawan Utusan Malaysia tersebut yang dia akan menghubungi ketua pengarang akhbar berkenaan berhubung soalan diajukan.
Semalam, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) membidas tindakan itu yang bukan sahaja tidak wajar, malah cubaan menakut-nakutkan serta menekan kebebasan media di Malaysia.
Dalam pada itu Fahmi berkata, Nga akan memberi penjelasan lanjut kepada media berhubung perkara berkenaan dan bertemu pihak Utusan Malaysia bagi menjernihkan keadaan.
“Ini komitmen menteri berkenaan. Saya rasa ada ruang beliau bertemu dengan pihak Utusan (Malaysia) sendiri bagi menyampaikan pesanan beliau,” katanya ketika ditanya sama ada menteri berkenaan perlu meminta maaf kepada wartawan tersebut.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata pihaknya mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) meneliti dan memanggil pihak aplikasi OMI dalam masa terdekat.
Katanya, ia bagi meminta pihak terbabit memberi penjelasan susulan laporan kes melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang diperlakukan secara tidak senonoh oleh seorang lelaki dewasa selepas berkenalan menerusi aplikasi itu.
“Kita (perlu mendapat) penjelasan apakah langkah, mekanisme, sistem verifikasi umur yang ada pada waktu ini.
“Selepas ini, kita akan juga pertimbangkan untuk menggunakan pelaksanaan pengesahan elektronik Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital (eKYC) yang menggunakan dokumen diterbitkan oleh pihak kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID bagi pengesahan umur dan identiti,” katanya.