Tuduhan edar dadah, penjual sarang burung terlepas hukuman mati

Tuduhan edar dadah, penjual sarang burung terlepas hukuman mati

Mahkamah mendapati tiada penemuan komprehensif ke atas bukti yang mana Tan Chen Xing didakwa mengedar dadah pada 2016.

Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman gantung ke atas Tan Chen Xing yang didakwa mengedar ketamin dan methamphetamine pada November 2016. (Gambar Reuters)
PUTRAJAYA:
Seorang bekas penjual sarang burung terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman mati atas dua tuduhan mengedar dadah.

Panel tiga hakim dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan Kamaludin Md Said dan Ahmad Nasfy Yasin serta hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan rayuan Tan Chen Xing selepas mendapati terdapat merit dalam rayuannya.

Dalam keputusan mahkamah itu, Kamaludin yang mengetuai panel berkata, sabitan Tan untuk mengedar dadah tidak selamat untuk dikekalkan selepas hakim Mahkamah Tinggi mendapati tiada penemuan komprehensif ke atas bukti.

Mahkamah juga mengetepikan sabitan Tan dan hukuman penjara ke atas dua tuduhan memiliki 0.06g nimetazepam dan 299.2g racun phenazepam tanpa lesen yang sah.

Bagi pertuduhan mengedar dadah, Tan didakwa mengedar 361.8g ketamin dan 156.52g methamphetamine.

Tan didakwa melakukan kesalahan itu di kondominium di Lebuh Minden 1, Gelugor, Pulau Pinang, 4 petang, 10 Nov 2016.

Pada 2020, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mendapati Tan bersalah atas pertuduhan tersebut dan beliau dijatuhkan hukuman mati kerana mengedar dadah.

Bagi kesalahan memiliki nimetazepam pula, Tan dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan satu tahun kerana memiliki phenazepam.

Peguam Hussaini Abdul Rashid yang mewakili Tan dalam hujahnya berkata, hakim Mahkamah Tinggi gagal untuk mempertimbangkan bahawa terdapat lima individu yang mendiami kondominium itu dan bukan anak guamnya sahaja yang mempunyai akses kepada premis tersebut.

Beliau berkata, Tan tinggal di bilik ketiga rumah itu dan bukan di bilik pertama di mana dadah dadah itu ditemukan.

Hussaini berkata, anak guamnya dikehendaki ke penjara semula untuk menjalani 10 sebatan sebelum dia dibebaskan.

Beliau berkata, Tan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas dia mengaku bersalah memiliki dadah dalam poketnya.

Katanya, Tan telah lengkap menjalani hukuman penjaranya tetapi belum menjalani hukuman sebatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.