
Penganalisis minyak dan gas, Jamil Ghani, memuji keputusan itu sebagai ‘kukuh dari segi undang-undang’, sambil menambah ia boleh menjadi titik perubahan dalam menyelesaikan ketegangan lama antara pihak berkuasa persekutuan dan negeri mengenai bekalan gas di Sarawak.

“Walaupun persoalan perlembagaan yang lebih luas tentang bidang kuasa negeri berbanding persekutuan belum diselesaikan sepenuhnya, mesejnya jelas.
“Syarikat tidak boleh menggunakan ketidakpastian itu sebagai alasan untuk melengah-lengahkan kewajipan mereka kepada Petronas di bawah kontrak persekutuan sedia ada,” katanya kepada FMT.
Pertikaian itu bermula apabila Shell MDS menerima invois berjumlah RM80 juta daripada Petronas dan juga syarikat milik negeri Sarawak, Petros — mendorongnya memfailkan saman interpleader untuk menyelesaikan tuntutan bersaing tersebut.
Sementara menunggu keputusan kes, Shell MDS memperoleh injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi, membolehkannya menahan bayaran serta menghalang Petronas daripada mengakses jaminan bank — namun masih mewajibkan syarikat minyak negara itu terus membekalkan gas.
Akibatnya, sehingga kini Petronas tidak dapat menuntut bayaran lebih RM500 juta.
Pada Isnin, panel tiga hakim sebulat suara membatalkan perintah itu.
Mahkamah mendapati Petronas telah menunaikan bahagiannya dalam perjanjian dengan terus membekalkan Shell sepanjang pertikaian dan berkata adalah tidak adil untuk memaksa penghantaran berterusan tanpa pampasan.
Mahkamah mengarahkan Shell membuat semua bayaran tertunggak kepada Petronas sebelum 6 Oktober dan membayar kos guaman RM50,000 kepada Petronas daripada Shell MDS dan RM30,000 daripada Petros.
“Hasilnya menguntungkan kedaulatan undang-undang dan membantu memupuk kepastian komersial. Tetapi ia juga akan mencetuskan perdebatan lanjut di Sarawak, di mana ia mungkin dilihat sebagai kuasa negeri sedang diperkecilkan,” tambah Jamil.
“Ia juga menyerlahkan keperluan penyelarasan peraturan yang lebih jelas — sama ada melalui pindaan undang-undang atau pekeliling persekutuan–negeri. Tujuannya agar kontrak masa depan tidak terdedah kepada pertindihan tuntutan dan pertikaian politik.”
Pertikaian undang-undang berterusan
Keputusan mahkamah itu turut mencerminkan persekitaran dasar yang lebih luas yang terus menegaskan mandat institusi Petronas untuk memastikan kesinambungan bekalan tenaga negara.
Pihak yang menyokong, dalam beberapa bulan kebelakangan ini, menekankan keperluan kepastian undang-undang dan kestabilan operasi dalam sektor gas — keutamaan yang turut ditekankan dalam penghakiman mahkamah, yang menggariskan kepentingan bekalan tanpa gangguan serta pampasan yang adil.
Dengan perundingan mengenai peranan pengagregat Petros yang masih berjalan, keputusan mahkamah dibuat berasaskan Petronas mengekalkan kawalan operasi.
Mahkamah juga menyatakan bahawa penghantaran bekalan oleh Petronas kepada Shell MDS tidak pernah terganggu.
Sebaliknya, Petros mengakui di mahkamah bahawa ia tidak mempunyai infrastruktur untuk membekalkan Shell secara bebas, walaupun Sarawak bertegas mahu menjadi pengagregat tunggal.
Seorang penganalisis enggan dikenali yang rapat dengan perkara itu memberitahu FMT bahawa rakan kongsi huluan Petronas, termasuk cabang huluan Shell sendiri, tidak pernah mengadu mengenai sebarang kegagalan Petronas dalam penghantaran secara berhemah.
“Oleh itu, adalah adil jika pengendali hiliran Shell, Shell MDS, juga memenuhi kewajipan (pembayaran) mereka tepat pada masanya,” katanya.
“Kelewatan pembayaran yang berlarutan telah memberi kesan kepada aliran tunai Petronas, yang seterusnya menjejaskan Malaysia secara keseluruhan.
“Ringkasnya, negara telah terlalu lama menanggung Shell. Keputusan mahkamah menjelaskan bahawa tunggakan ini mesti diselesaikan dan wajar jika faedah dikenakan ke atas jumlah tertunggak tersebut.”
Namun, pakar menjelaskan bahawa penghakiman itu tidak secara jelas menyelesaikan konflik undang-undang asas — iaitu sama ada undang-undang persekutuan atau negeri yang mengawal hak gas.
“Rayuan ini hanya mengenai injunksi,” kata pensyarah undang-undang Universiti Utara Malaysia, Hafiz Hassan, sambil menambah bahawa perkara itu ditangani dari sudut prosedur, bukan perlembagaan.
Mahkamah turut memerintahkan supaya saman itu diselesaikan dengan segera — untuk menentukan pihak mana, Petronas atau Petros, yang berhak secara sah menerima bayaran daripada Shell.
Mahkamah berkata ia bertujuan mempercepat penyelesaian pertikaian antara Petronas dan Petros berhubung konflik undang-undang yang timbul daripada Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan undang-undang negeri Sarawak.
Namun, pemerhati berpendapat keputusan itu mempunyai implikasi yang lebih mendalam.
“Penghakiman ini bukan sekadar kemenangan kewangan untuk Petronas, tetapi juga satu pengesahan semula terhadap kerangka undang-undang dan institusi yang menjadi asas kepada keselamatan tenaga dan kestabilan fiskal Malaysia,” kata seorang penganalisis yang enggan dikenali.

Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim pula berpendapat bahawa hanya keputusan mahkamah dapat menyelesaikan pertikaian ini secara muktamad.
“Idea bahawa terdapat tuntutan bercanggah terhadap gas di Sarawak sepatutnya tidak dipertimbangkan sejak awal lagi,” katanya.
“Ahli politik harus berhati-hati agar tidak mengeruhkan keadaan.”