
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Zainudin Abdullah, berkata dalam Op Cegah Khas pihaknya menahan seramai 263 individu di negeri itu.
Katanya, jumlah tangkapan tertinggi kedua membabitkan Johor iaitu 151 orang, manakala Perak pula seramai 139.
“Secara keseluruhan seramai 1,411 individu ditahan dalam operasi terbabit di seluruh negara, di mana 1,132 daripadanya berusia 19 hingga 61 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Selain methamphetamine, turut dikesan ialah penggunaan opiat, ganja dan beberapa bahan larangan lain.
“Kedah menjadi negeri tumpuan kerana jumlah tangkapan tertinggi, diikuti Johor (151 orang) dan Perak (139 orang),” katanya dalam sidang media di Pejabat AADK Kota Setar, menurut Harian Metro.
Zainudin berkata, Kuala Kedah dalam daerah Kota Setar merekodkan jumlah tangkapan tertinggi di negeri itu diikuti Kuala Muda dan Ayer Hangat di Langkawi.
Katanya, daripada jumlah tangkapan di Kedah, seramai 178 individu dikenal pasti sebagai penagih baharu.
“Sehingga kini, jumlah keseluruhan tangkapan berkaitan penagihan dadah di Kedah dari Januari hingga September mencecah 3,189 orang.
“Ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh usaha rawatan dan pemulihan,” katanya.
Menurutnya, semua penagih yang ditahan disiasat mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 termasuk mereka yang terbabit dalam penyalahgunaan ketum.
“AADK kini berdepan cabaran baharu apabila dadah semakin mudah diperoleh oleh golongan muda melalui pembelian secara dalam talian, sekali gus menyukarkan pengesanan awal.
“Justeru, kami menyeru ibu bapa, masyarakat dan komuniti supaya lebih peka dan proaktif dalam menangani isu penagihan dadah,” katanya.