Kes saman serangan seksual: Bekas pembantu penyelidik Anwar fail rayuan

Kes saman serangan seksual: Bekas pembantu penyelidik Anwar fail rayuan

Pihak Muhammed Yusoff Rawther memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Sept.

Muhammed Yusoff Rawther, yang meletak jawatan sebagai pembantu penyelidik Anwar Ibrahim pada 24 Jun 2019, membuat laporan polis terhadap bekas majikannya itu pada 7 Dis 2019. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas pembantu penyelidik kepada Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther telah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonannya untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas Presiden PKR itu.

Peguam Mahajoth Singh, yang mewakili Yusoff berkata, pihaknya memfailkan rayuan berhubung keputusan itu di Mahkamah Rayuan pada 28 Sept.

“Kes ditetapkan untuk pengurusan kes secara dalam talian pada 27 Dis,” katanya.

Yusoff memfailkan notis rayuan itu berikutan tidak berpuas hati dengan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee yang menolak permohonannya pada 9 Sept lepas.

Permohonan itu berhubung saman dikemukakan Yusoff pada 14 Julai 2021 mengenai dakwaan berlaku serangan seksual terhadapnya di kediaman ahli politik tersebut empat tahun lepas.

Anwar selaku defendan kemudian memfailkan saman balas terhadap saman dikemukakan Yusoff.

Dalam pernyataan tuntutannya, Yusoff selaku plaintif mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Okt 2018 di kediaman Anwar di Segambut apabila beliau diminta oleh setiausaha sulit Anwar, iaitu Shukri Saad, untuk menyerahkan sendiri kepada defendan teks ucapan sempena sambutan ulang tahun ke-150 Mahatma Gandhi anjuran Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India.

Yusoff, yang meletak jawatan pada 24 Jun 2019, berkata satu laporan polis telah dibuat terhadap Anwar pada 7 Dis 2019.

Jabatan Peguam Negara kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk mendakwa Anwar.

Plaintif mendakwa akibat kejadian itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuh dan merosakkan karier politik defendan. Perkara ini turut memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan daripada pemimpin yang menyokong Anwar serta orang awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.