Bicara rasuah Zahid: Pendakwaan bantah cubaan baharu pembelaan cemar karakter saksi

Bicara rasuah Zahid: Pendakwaan bantah cubaan baharu pembelaan cemar karakter saksi

Sebahagian daripada kenyataan Fadzlette Othman Merican mengenai Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly adalah tidak relevan dan tidak boleh diterima, kata ketua pendakwa.

Ahmad Zahid Hamidi berdepan 27 tuduhan membabitkan pengubahan wang haram, 12 pecah jenayah dan lapan rasuah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi membantah percubaan pihak pembelaan untuk menambah kesangsian terhadap karakter saksi utamanya.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran memberitahu mahkamah, sebahagian daripada kenyataan saksi Fadzlette Othman Merican mengenai Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly adalah tidak relevan dan tidak boleh diterima.

Fadzlette, saksi kedua pembelaan, ialah setiausaha akhbar Zahid ketika dia memegang jawatan awam antara 2011 hingga 2018.

“Perenggan tertentu dalam pernyataan itu dimasukkan untuk merosakkan perwatakan Mazlina. Ini tidak boleh dilakukan mengikuy Akta Keterangan kerana kredibiliti Mazlina telah dicabar secara meluas oleh peguam tertuduh semasa pemeriksaan balas (pada peringkat pendakwaan),” kata Raja Rozela.

Beliau berkata, arah tuju pertanyaan dalam pernyataan saksi tidak patut dibenarkan kerana ia tidak relevan dan tidak boleh diterima.

“Saya membuat kesimpulan bahawa Yang Arif mempunyai kuasa untuk memutuskan sejauh mana pernyataan saksi ini relevan dengan perbicaraan,” katanya di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Ketua pendakwa itu membangkitkan bantahan kerana didapati pernyataan saksi Fadzlette mengandungi serangan terhadap karakter Mazlina.

Mazlina menjadi setiausaha eksekutif Zahid ketika dia menjadi menteri dalam negeri dan timbalan perdana menteri antara 2013 dan 2018.

Peguam utama Zahid, Hisyam Teh Poh Teik, berkata pernyataan saksi Fadzlette diberikan kepada pihak pendakwaan dalam tempoh 14 hari sebelum beliau memberi keterangan.

“Tiada bantahan awal daripada mereka,” katanya, menggesa mahkamah memberinya masa sehingga esok untuk menjawab.

Raja Rozela berkata, pihak pendakwaan tidak perlu memberi notis mengenai bantahan mereka kerana ini adalah peraturan keterangan asas.

Sequerah menangguhkan prosiding hingga esok untuk pembelaan membuat penghujahan.

Sebelum ini, Zahid turut memberi keterangan bahawa Mazlina menggunakan cek Yayasan Akalbudi untuk membayar bil kad kreditnya tanpa arahan, pengetahuan atau persetujuannya.

Beliau memberitahu mahkamah, Mazlina juga menggunakan cop dengan replika tandatangannya pada cek Yayasan Akalbudi untuk menjelaskan bil.

Zahid berkata, ketika diperika balas oleh peguamnya pada peringkat pendakwaan, Mazlina mengakui kecuaiannya dalam mengendalikan pembayaran kad kredit Zahid.

Presiden Umno itu dibicarakan atas tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa menjadi menteri dalam negeri.

Sebanyak 27 tuduhan membabitkan pengubahan wang haram, 12 pecah jenayah dan lapan rasuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.