Helikopter hilang: Juruterbang mati di lokasi kejadian

Helikopter hilang: Juruterbang mati di lokasi kejadian

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata mayat juruterbang sebuah helikopter kini dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat.

Mangsa dikenali sebagai Tsz Kin Richard Chan, 58, merupakan warganegara Hong Kong ditemukan pasukan penyelamat kira-kira 9.30 pagi tadi, menurut polis.
PETALING JAYA:
Juruterbang helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara KL di Bidor semalam disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata mayat juruterbang itu kini dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat.

“Mangsa dikenali sebagai Tsz Kin Richard Chan, 58, merupakan warganegara Hong Kong ditemukan pasukan penyelamat sekitar pukul 9.30 pagi tadi.

“Pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memaklumkan mangsa disyaki meninggal dunia di lokasi nahas di Hutan Simpan Chikus,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Bidor, Perak.

Mohd Yusri berkata keluarga mangsa telah dimaklumkan oleh pihak syarikat.

Katanya, bangkai pesawat jenis Eurocopter milik sebuah syarikat swasta itu telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Polis berkata mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk proses bedah siasat. (Gambar Twitter Bernama)

Tambahnya, tiada kesan letupan ataupun kebakaran dijumpai di lokasi kejadian.

Awal pagi tadi, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata juruterbang itu ditemui selamat kira-kira 8.20 pagi tadi dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Semalam, pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan helikopter jenis Eurocopter EC120B itu terputus hubungan kira-kira 12.16 tengah hari, dengan lokasi terakhir dilaporkan di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang, pada 11.37 pagi.

Namun, helikopter kendalian Heli Outpost Sdn Bhd itu gagal dihubungi selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Semakan daripada bacaan radar menunjukkan kehilangan ketinggian yang besar dalam masa kurang daripada satu minit.

Operasi SAR dihentikan sementara malam tadi berikutan faktor cuaca tidak mengizinkan dan disambung semula awal pagi tadi.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh turut berkata laporan yang dilihat bercanggah mengenai status juruterbang itu pasti menimbulkan trauma terhadap keluarga mangsa.

Perkembangan terbaharu itu disusuli kenyataan Wee yang menjelaskan bahawa “petunjuk awal” menunjukkan mangsa masih hidup di lokasi nahas apabila ditemui pagi tadi.

“Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri semasa pasukan penyelamat sedang menguruskan dalam misi menyelamat tersebut.

“Pihak berkuasa termasuk CAAM dan SAR kini sedang menunggu pengesahan daripada hospital mengenai punca kematian,” katanya di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.