Adam Radlan ‘lesap’ selepas bayar penalti RM4.1 juta, kata Azam

Adam Radlan ‘lesap’ selepas bayar penalti RM4.1 juta, kata Azam

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki tidak dapat mengesahkan di mana Adam Radlan Adam Muhammad berada ketika ini.

Adam Radlan
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata Adam Radlan Adam Muhammad bebas ke luar negara selepas mahkamah menjatuhkan hukuman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad yang diburu pihak berkuasa dipercayai “lesap” selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penalti RM4.1 juta.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki yang mengesahkan perkara itu berkata, Adam bebas ke luar negara selepas mahkamah menjatuhkan hukuman.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan di mana Adam berada ketika ini.

“Beliau sebelum ini disiasat berkait projek Jana Wibawa dan selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penalti sebanyak RM4.1 juta terhadapnya, dia meninggalkan negara,” katanya menurut Berita Harian.

Semalam, Azam mengesahkan SPRM berbincang dengan Jabatan Imigresen berhubung status pasport ahli perniagaan itu.

Tetapi, beliau tidak mendedahkan sama ada dokumen perjalanan antarabangsanya sudah dibatalkan.

Media melaporkan SPRM sedang mengesan Adam Radlan, 44, bagi membantu siasatan berkaitan projek Lebuhraya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (MEX 2) bermula dari Persimpangan Putrajaya dan berakhir di KLIA.

Pada 20 Ogos lalu, Adam dibebaskan daripada 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram selepas membayar kompaun RM4.1 juta.

Keputusan itu dibuat Mahkamah Sesyen selepas pendakwaan menerima surat representasi Adam mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.

Adam sebelum ini berdepan beberapa pertuduhan, termasuk meminta dan menerima suapan berkaitan projek kerajaan bernilai RM47.8 juta serta menerima suapan RM4.1 juta bagi membantu dua syarikat memperoleh projek Jana Wibawa.

Dia juga dituduh meminta RM2 juta sebagai upah membantu mendapatkan projek sama antara Mac 2021 hingga Januari 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.