Sebelum anak hilang dalam skrin

Sebelum anak hilang dalam skrin

Media sosial bukan sekadar tempat bersosial. Ia ruang yang membentuk identiti, mempengaruhi emosi, mencorak nilai dan kadangkala merosakkan pertumbuhan mental.

Gelombang kecanduan skrin dalam kalangan remaja kini menjadi antara cabaran terbesar masyarakat moden. Dunia sedang bergerak ke arah kawal selia lebih ketat, dan Australia tampil sebagai negara pertama berani melaksanakan larangan penggunaan media sosial kepada pengguna bawah 16 tahun. Keputusan ini mencetuskan perbincangan global tentang keselamatan digital, dan di Malaysia, persoalan sama mula mengetuk pintu dasar awam: adakah kita juga perlu mengambil langkah radikal ini sebelum generasi muda tenggelam dalam bahaya yang tidak kelihatan?

Cadangan mengehadkan umur minimum kepada 16 tahun pernah disuarakan dalam wacana tempatan. Data sedia ada menunjukkan kanak-kanak Malaysia antara pengguna internet paling aktif di Asia Tenggara, malah lebih awal terdedah kepada kandungan berisiko tinggi berbanding negara maju. Namun setakat ini, kerangka undang-undang belum menunjukkan keberanian yang sama seperti Australia, walaupun ancamannya semakin ketara. Dalam konteks teknologi yang berkembang terlalu pantas, kelengahan ini boleh mengundang risiko tambahan. Setiap tahun muncul aplikasi baharu dengan algoritma lebih agresif, menjadikan remaja menjadi sasaran komersial dan psikologi tanpa perlindungan jelas daripada undang-undang. Realitinya, jika negara lain sudah memulakan langkah drastik, Malaysia tidak boleh hanya menonton gelombang itu berlalu.

Pelajaran dari Australia yang menggoncang dunia teknologi

Mulai 10 Dis, platform seperti TikTok, Instagram, Facebook, X, Snapchat, YouTube, Reddit, Threads dan Twitch perlu mengambil langkah munasabah bagi menghalang pendaftaran akaun baharu oleh pengguna bawah 16 tahun dan menutup akaun yang telah wujud. Undang-undang itu tidak menyalahkan ibu bapa atau anak, sebaliknya meletakkan tanggungjawab sepenuhnya di bahu syarikat teknologi. Penalti yang ditetapkan mencecah puluhan juta dolar Australia, menandakan kerajaan tidak lagi mahu bergantung kepada janji manis korporat.

Keberanian Australia muncul berasaskan kajian yang mengejutkan. Sebanyak 96 peratus kanak-kanak berusia 10 hingga 15 tahun menggunakan media sosial secara aktif. Daripada jumlah ini, tujuh daripada sepuluh terdedah kepada kandungan berbahaya, termasuk prejudis melampau, video pergaduhan, promosi ‘eating disorder’ dan bahan berkaitan bunuh diri. Seorang daripada tujuh pula pernah mengalami cubaan ‘grooming’ oleh orang dewasa atau remaja lebih tua. Lebih separuh daripada mereka menjadi mangsa buli siber sekurang-kurangnya sekali.

Analisis ini tidak sekadar statistik, tetapi amaran tentang trauma digital yang sedang membentuk perkembangan mental generasi baharu. Australia memilih untuk bertindak sebelum keadaan menjadi lebih parah, meskipun menyedari pelaksanaannya akan berdepan pelbagai kritikan dan kelemahan teknikal. Mereka juga mengakui bahawa sistem verifikasi umur mungkin belum sempurna, namun bagi Australia, ‘ketidaksempurnaan bukan alasan untuk menangguhkan perlindungan’. Sikap tegas seperti itu menjadikan negara tersebut rujukan dunia, walaupun langkah mereka disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai eksperimen besar.

Malaysia dan realiti yang tidak kurang membimbangkan

Apabila data Malaysia dibandingkan, realitinya tidak banyak berbeza. Malah dalam beberapa aspek, lebih membimbangkan. Kanak-kanak remaja 13 hingga 16 tahun merupakan kumpulan paling dominan dalam penggunaan internet. Buli siber terus meningkat saban tahun, manakala kandungan seksual, ganas dan melampau semakin mudah diakses tanpa tapisan. Terdapat pula kes-kes ekstrem apabila perbuatan jenayah turut dijadikan bahan hiburan di media sosial.

Pakar psikologi tempatan telah lama mengingatkan tentang bahaya ini. Kajian menunjukkan norma sosial yang dibina melalui media sosial semakin mempengaruhi penilaian diri remaja, membentuk gangguan imej tubuh, ketagihan perhatian dan keresahan sosial. Remaja Malaysia tidak terkecuali daripada tekanan untuk meniru gaya hidup palsu yang dipromosikan secara tidak henti-henti di platform digital. Dalam kalangan pakar keselamatan digital pula, kebimbangan semakin tinggi apabila wujud hubungan jelas antara pendedahan awal kepada media sosial dengan risiko penyalahgunaan, pemerasan seksual, serta normalisasi tingkah laku ekstrem.

Oleh itu, cadangan menghadkan akses media sosial kepada mereka yang berusia sekurang-kurangnya 16 tahun bukanlah sesuatu yang keterlaluan. Ia sebenarnya bertitik tolak daripada keperluan mendesak untuk mewujudkan ruang perlindungan digital bagi golongan yang paling mudah terpengaruh.

Cabaran pelaksanaan dan realiti budaya digital kita

Malaysia tidak boleh sekadar meniru Australia kerana konteks budaya dan tingkah laku pengguna berbeza. Kadar penggunaan VPN yang tinggi dalam kalangan remaja, keupayaan mencipta akaun palsu, kelemahan kawalan ibu bapa dan tahap literasi digital yang tidak seragam menjadikan pelaksanaan larangan umur lebih mencabar. Tambahan pula, risiko privasi tidak boleh dipandang ringan. Kaedah verifikasi umur melalui pengecaman wajah, suara atau dokumen rasmi mengundang kebimbangan tentang keselamatan data, apatah lagi dengan rekod kebocoran maklumat peribadi yang pernah berlaku.

Walaupun begitu, cabaran bukan alasan untuk tidak bertindak. Malaysia memerlukan pendekatan tersendiri yang memadukan penguatkuasaan, pendidikan dan sokongan ekosistem. Larangan boleh menjadi permulaan, tetapi tidak akan berkesan jika berdiri sendirian tanpa program literasi digital, penglibatan sekolah, kesedaran ibu bapa dan komitmen industri teknologi. Sektor swasta juga perlu memainkan peranan, terutama platform tempatan yang boleh membangunkan sistem keselamatan digital berasaskan budaya dan nilai Malaysia, bukannya bergantung kepada model luar semata-mata.

Nuansa Malaysia dan kesungguhan politik yang diperlukan

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan Malaysia menunjukkan keupayaan melaksanakan reform yang sebelum ini dianggap mustahil. Kejayaan menyelesaikan sembilan perkara MA63 bawah kepimpinan PMX menjadi bukti bahawa jika ada kehendak politik, langkah besar boleh dilaksanakan. Prinsip yang sama wajar diterjemahkan kepada perlindungan keselamatan digital kanak-kanak.

Isu ini bukan sekadar teknikal atau birokratik. Ia menyentuh tentang masa depan sosial dan mental generasi yang bakal mewarisi negara. Dalam dunia di mana skrin semakin menggantikan interaksi manusia, negara perlu memutuskan garis yang membezakan perlindungan dan kebebasan.

Ke mana Malaysia harus melangkah selepas ini

Model ideal bagi Malaysia mungkin bukan sekadar meniru Australia, tetapi menggabungkan larangan umur dengan pendidikan literasi digital yang bermula seawal sekolah rendah. Peranan ibu bapa perlu dikuatkan dengan bimbingan praktikal, sementara platform digital harus diwajibkan menyediakan ciri keselamatan dan kawalan ibu bapa yang lebih kukuh. Negara juga perlu membangunkan sistem pemantauan nasional yang bukan sahaja mengumpul aduan, tetapi mampu bertindak balas dengan cepat terhadap kes buli siber dan penyebaran kandungan berbahaya.

Teknologi boleh menjadi teman atau musuh. Dalam konteks kanak-kanak, ia tidak sepatutnya dibiarkan tanpa pengawasan. Malaysia sedang berada pada persimpangan penting: sama ada memilih langkah proaktif yang melindungi, atau menunggu sehingga harga sosialnya jauh lebih mahal.

Generasi muda tak boleh dibiarkan belajar dunia melalui skrin gelap

Media sosial bukan sekadar tempat bersosial. Ia adalah ruang yang membentuk identiti, mempengaruhi emosi, mencorak nilai dan kadangkala merosakkan pertumbuhan mental. Australia sudah mula melaksanakan larangan bawah 16 tahun, dan dunia sedang menunggu hasilnya—sama ada ia menjadi model global atau sekadar eksperimen berisiko tinggi.

Malaysia perlu bertanya pada dirinya sendiri: adakah kita mahu menjadi negara yang hanya bercakap tentang bahaya selepas tragedi berlaku, atau negara yang memilih untuk bertindak sebelum segala-galanya terlambat? Jika jawapannya adalah melindungi anak-anak, maka perbincangan tentang larangan bawah 16 tahun sudah tidak boleh lagi ditangguhkan dan patut diambil serius.

 

Penulis ialah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.