
Ketua Polis Kota Tinggi, Yusof Othman, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan memaklumkan bot nelayan dinaiki suaminya bersama pekerja terbalik.
Menurutnya, siasatan awal mendapati bot gentian kaca yang dinaiki seorang lelaki tempatan 55 tahun bersama pekerja asing berusia 32 tahun dilanggar bot lain yang tidak dikenal pasti pemiliknya dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira 9.50 malam Ahad.
“Bot dinaiki dua nelayan itu kemudian terbalik, sebelum warga asing itu dijumpai berpaut pada kayu bot dalam keadaan selamat oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Wilayah Dua Pengerang.
“Bagaimanapun, nelayan tempatan itu belum ditemui,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau meminta kerjasama nelayan di sekitar lokasi kejadian membantu mencari dan mengesan kedudukan mangsa hilang, manakala orang ramai mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkan maklumat itu di balai polis berdekatan.
“Orang ramai juga boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Kota Tinggi di talian 07-883 7222 atau Pemangku Ketua Polis Balai Pengerang, Romeo Usit di talian 011-10182027.”