
Prof Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, memaklumkan isterinya meninggal dunia di Jeddah pada Khamis lalu, tanpa menyatakan punca kematiannya.
“Dengan penuh dukacita dan kesedihan, saya ingin mengumumkan pemergian isteri tercinta saya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim, di tanah para anbiya, Jeddah, pada 8.07 pagi 15 Jan lalu.
“Semoga Allah mengurniakan keampunan dan rahmat-Nya ke atas roh arwah,” katanya dalam hantaran itu.
Anak perempuan Nadia dalam hantaran berasingan yang dipetik Bernama berkata, ibunya meninggal dunia akibat sakit jantung dan dibawa ke hospital pada hari sama arwah tiba di lapangan terbang Jeddah.
Nadia, 50, dilaporkan hilang dan gagal dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Khamis lalu.
Menteri Luar, Mohamad Hasan dilaporkan berkata, pihak imigresen Arab Saudi mengesahkan wanita itu sudah meninggalkan kawasan lapangan terbang dan diklasifikasikan orang hilang selepas gagal dikesan lebih 20 jam.
Allahyarham menyertai kumpulan umrah dan ziarah sebuah agensi pelancongan yang terdiri daripada 21 peserta selama dua minggu bermula 14 Jan lalu.
Sementara itu, Kamarul berkata, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Jeddah.
“Kami tak bawa pulang, kami akan kebumikan di sana (Jeddah).
“Ini atas perbincangan keluarga dan saya rasa ini yang arwah mahukan,” katanya menurut Berita Harian sambil menambah maklumat pemergian Allahyarham sudah diberikan kepada Wisma Putra.