1 rakyat Malaysia hilang dalam tanah runtuh di Sumatera Barat

1 rakyat Malaysia hilang dalam tanah runtuh di Sumatera Barat

Asrul Nizam Apridwson hilang dipercayai akibat kejadian tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat pada 27 Nov lalu.

Pasukan mencari dan menyelamat menemui sebuah motosikal ketika mencari mangsa tanah runtuh di Tapanuli Selatan di Sumatera Utara Jumaat lalu. (Gambar EPA Images)
PUTRAJAYA:
Kementerian Luar Negeri mengesahkan rakyat Malaysia, Asrul Nizam Apridwson, 30, hilang dipercayai akibat kejadian tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat, Indonesia pada 27 Nov lalu.

Kementerian itu memaklumkan Konsulat Jeneral Malaysia di Medan akan terus berhubung dengan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia, Badan Penanggulangan Bencana Daerah Sumatera Barat dan polis tempatan untuk mendapatkan maklumat terkini operasi mencari dan menyelamat.

Ia juga menasihatkan rakyat Malaysia di Sumatera Barat sentiasa mengikuti semua arahan pihak berkuasa tempatan serta menjauhi zon terdedah tanah runtuh dan banjir, khasnya laluan Padang-Bukittinggi di kawasan Lembah Anai, yang masih ditutup.

“Rakyat Malaysia yang kini berada di kawasan terjejas dinasihat mendaftarkan kehadiran mereka dengan konsulat jeneral bagi memudahkan pemberian bantuan dan komunikasi tepat pada masanya,” katanya dalam kenyataan.

Konsulat Jeneral Malaysia di Medan boleh dihubungi melalui talian +62 823-6164-6046 yang beroperasi 24 jam atau e-mel kepada [email protected].

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.