Mohon maaf atau kami saman, Zaid dan rakan kongsi beritahu presiden Badan Peguam

Mohon maaf atau kami saman, Zaid dan rakan kongsi beritahu presiden Badan Peguam

Zaid, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavanam akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Karen Cheah jika beliau tidak menarik balik kenyataannya dan memohon maaf sebelum 2 Sept.

Zaid Ibrahim dan dua rakan kongsinya berkata, kandungan kenyataan media Karen Cheah pada 19 Ogos adalah ‘palsu dan berniat jahat’.
PETALING JAYA:
Peguam kanan Zaid Ibrahim dan dua rakan kongsinya menuntut Presiden Badan Peguam Malaysia Karen Cheah “menarik balik” dan “memohon maaf sepenuhnya dan secara tidak berbelah bahagi” atas kenyataan media yang didakwa menjadi “libel yang serius” mengenai kelakuan mereka dalam rayuan kes SRC International bekas perdana menteri Najib Razak.

Zaid, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavanam berkata, mereka akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Cheah jika beliau tidak menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf sebelum 2 Sept.

Mereka mendakwa, kenyataan media pada 19 Ogos, yang menjadi asas kepada laporan berita oleh The Edge, Malay Mail dan The Star pada hari yang sama, “secara palsu dan berniat jahat” mengandungi kenyataan mengenai kelakuan mereka dalam rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan.

Surat yang dikeluarkan pada 26 Ogos melalui firma guaman mereka, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners, mengenal pasti beberapa perenggan dalam kenyataan media Cheah yang didakwa “secara semborono tidak mempedulikan sama ada tuduhan yang dilemparkan itu benar”.

Perenggan-perenggan berkenaan, menurut surat itu, mencadangkan bahawa peguam-peguam terbabit “bertindak secara tidak profesional”, “menyalahgunakan proses mahkamah”, serta menggunakan “strategi yang tidak berprinsip untuk menyeleweng sistem keadilan” dan “mencemarkan maruah profesion undang-undang”.

Mereka juga mendakwa kenyataan Cheah mencadangkan bahawa peguam-peguam itu “tidak profesional, tidak cekap dan tidak tahu peraturan amalan dan etika profesional”, serta “tidak kesal menyalahgunakan proses mahkamah”.

Tambah mereka, kenyataan tersebut turut mencadangkan bahawa tindakan peguam-peguam itu “secara terang-terangan menghina mahkamah” dan “tidak sesuai diamalkan oleh peguam bela dan peguam cara”.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai “palsu dan keji”, surat itu menambah, “dengan menerbitkan dan menyebarkan kenyataan media dan menyebabkan kenyataan yang dapat disangkal itu disiarkan (oleh) portal berita dalam talian, (Cheah) berniat untuk, dan memastikan bahawa ia menerima liputan seluas boleh … bagi semua rakyat Malaysia”.

“Anda juga tahu … bahawa (kes Najib) telah menarik liputan media antarabangsa yang meluas dan (bahawa) tuduhan (anda itu akan) disebarkan kepada masyarakat antarabangsa juga,” kata surat itu.

Selain permohonan maaf, dalam surat itu mereka menggesa presiden Badan Peguam itu agar berjanji tidak mengulangi kenyataan sedemikian mengenai peguam-peguam terbabit. Mereka turut meminta pampasan kos dan perbelanjaan yang munasabah.

Najib pada 25 Julai lepas melantik firma guaman Zaid untuk menggantikan Shafee & Co sebagai peguam cara dalam rayuan terakhir kes SRC International di Mahkamah Persekutuan, dengan Hisyam Teh Poh Teik dilantik sebagai peguam utama menggantikan Shafee Abdullah.

Selepas mahkamah tertinggi itu menolak beberapa permohonan masa tambahan untuk menyediakan rayuan, Najib melepaskan firma itu sebagai peguam cara, serta Zaid, Liew dan Rueben sebagai peguam bersama pada 18 Ogos.

Permohonan yang serupa untuk melepaskan Hisyam Teh sebagai peguam utama turut ditolak oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Pada 23 Ogos, Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengesahkan sabitan Najib atas kesemua tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Mahkamah turut mengesahkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atasnya, atau tambahan lima tahun penjara jika gagal membayar denda.

Najib mula menjalani hukuman penjara sejurus selepas prosiding selesai.

Sabitan dan hukuman itu pertama kali dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 dan disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Dis tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.