
KN Jayaselan, yang ketika itu ketua pengarah Jabatan Perumahan Negara, berkata pertemuan itu diadakan di pejabat Lim pada 2018 dan 2019.
“Kedua-dua pertemuan itu berlangsung kira-kira lima minit. Saya berada di situ sepanjang perbincangan,” katanya ketika disoal peguam Nizamuddin Hamid.
Jayaselan memberikan keterangan bagi pihak pembelaan Zuraida dalam kes fitnah difailkan Lim susulan dakwaan Zuraida pada 2024 bahawa Lim menolak projek perumahan itu sebanyak dua kali.
Dalam tuntutannya, Lim turut menamakan penerbit MalaysiaNow, MNow Media Sdn Bhd, dan editornya, Abdar Rahman Koya, sebagai defendan, mendakwa laporan mengenai projek itu diterbitkan “untuk publisiti murah”.
Lim dan Zuraida bersama dalam Kabinet antara Mei 2018 dan Februari 2020, ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah di bawah perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.
Isnin lalu, Lim berkata dakwaan Zuraida telah menjejaskan reputasinya, terutamanya di kalangan pengundi India di Kuala Kubu Bharu, dan beliau menuntut ganti rugi sebanyak RM5 juta.
Ahli Parlimen Bagan itu dan bekas setiausaha agung DAP berkata bekas setiausaha politiknya, Tony Pua, pernah mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan Zuraida, dan menambah Zuraida sepatutnya lebih berhati-hati sebelum membuat kenyataan dan “memutarbelit fakta”.
Zuraida, yang menggunakan pembelaan justifikasi, komen adil dan keistimewaan terhad, berkata kenyataannya dibuat pada 10 Mei 2024 sebagai reaksi terhadap pengumuman kerajaan empat hari sebelumnya mengenai pemulihan projek itu.
Jayaselan, yang bersara bulan lalu, berkata pertemuan pertama diadakan selepas mereka mendapati kerajaan PH baharu pada 2018 telah menangguhkan beberapa projek perumahan, termasuk projek Bestari Jaya.
Beliau berkata keputusan ketika itu termasuk bahawa projek yang dibiayai kerajaan tidak lagi dilaksanakan melalui rundingan terus. Zuraida kemudian memberitahunya bahawa beliau mahu bertemu Lim bagi mendapatkan penjelasan mengenai projek Bestari Jaya, yang merupakan salah satu janji pilihan raya PH.
Menurut Jayaselan, dalam pertemuan pertama Lim memberitahu Zuraida bahawa tiada perubahan polisi dan semua prosedur sedia ada perlu dipatuhi. Zuraida kemudian memaklumkan Lim bahawa beliau akan bertemu pemilik tanah, pengasas Berjaya Group, Vincent Tan, untuk menyerahkan tanah itu kepada kerajaan supaya projek dapat dijalankan melalui tender terbuka.
Di bawah kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, projek itu dianugerahkan kepada kontraktor yang dilantik Berjaya melalui rundingan terus.
Jayaselan berkata dalam pertemuan kedua, Zuraida memberitahu Lim bahawa beliau berjaya meyakinkan Tan menyerahkan tanah itu kepada kerajaan, dan projek itu akan dijalankan melalui tender terbuka kerana ia dibiayai kerajaan.
“Lim berkata projek itu boleh diteruskan, asalkan semua prosedur sedia ada dipatuhi,” katanya.
Semasa disoal balas oleh peguam Lim, SN Nair, Jayaselan berkata Lim tidak membantah kehadirannya dalam kedua-dua pertemuan itu, dan hanya proses perolehan projek dibatalkan, bukan projek itu sendiri.
Beliau berkata jabatan beliau perlu mengeluarkan surat niat kepada kontraktor terpilih dan melakukan penilaian kos untuk memulihkan projek itu.
Jayaselan menganggarkan projek tersebut akan menelan kos kira-kira RM73 juta.
Apabila ditanya sama ada Lim pernah menolak projek itu sepenuhnya, Jayaselan menjawab: “Tidak, projek itu tidak dibatalkan.”
Beliau menambah projek itu kemudiannya tidak disenaraikan di Unit Perancangan Ekonomi dalam Jabatan Perdana Menteri selepas kejatuhan kerajaan PH pada 2020.
Projek itu hanya dipulihkan pada 2024 apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, mengumumkannya semasa pilihan raya kecil Kuala Kubu Bharu.
Pihak pembelaan telah menutup kes mereka, dan Pesuruhjaya Kehakiman D Shoba Rajah dijadualkan untuk membuat keputusan pada 25 Feb.