
Beliau turut menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki serta kerajaan sebagai defendan.
Tei, yang didakwa atas tuduhan rasuah bulan lalu, menuntut ganti rugi am serta perisytiharan bahawa tindakan SPRM, termasuk menggarinya adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Beliau mendakwa tindakan SPRM melanggar Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan semua orang sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan sama, serta tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan diri.
Tegasnya, individu berprofil tinggi tidak diarah berbaju lokap jingga ketika ditahan SPRM.
“Kenapa (bekas perdana menteri) Najib Razak, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob tidak memakai baju oren ketika mereka ditahan?
“Adakah ini layanan dua darjat?” katanya dalam sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Tei dan bekas setiausaha politik kanan perdana menteri, Shamsul Iskandar Akin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 5 Dis lalu atas tuduhan rasuah berjumlah RM230,000.
Shamsul didakwa bersetuju menerima jumlah itu dalam bentuk bayaran sewa daripada Tei sebagai dorongan membantu syarikat Tei mempunyai kepentingan mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Tei pula didakwa memberi rasuah kepada Shamsul.
Peguam Tei, N Surendran, berkata kes anak guamnya di mahkamah Shah Alam sudah dipindahkan ke Kuala Lumpur untuk digabung dengan kes lain.
Beliau berkata, ketika sebutan kes hari ini, Hakim Rosli Ahmad mengarahkan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen mereka kepada pihak pembelaan pada 13 Mac ini.