Usaha Bersatu kosongkan 4 kerusi Ahli Parlimen Sabah berakhir

Usaha Bersatu kosongkan 4 kerusi Ahli Parlimen Sabah berakhir

Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti berkata mahkamah tidak boleh campur tangan kuasa speaker Dewan Rakyat.

Armizan Ali, Khairul Firdaus Akbar Khan, Jonathan Yasin and Matbali Musah
Bersatu gagal dalam usaha untuk isytihar kerusi dipegang Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang) sebagai kosong.
PUTRAJAYA:
Pertikaian undang-undang selama tiga tahun yang dibawa Bersatu bagi mengosongkan kerusi empat Ahli Parlimen Sabah kerana berpaling tadah berakhir, selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu.

Dalam keputusan majoriti, Hakim Nallini Pathmanathan dan Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan kebenaran merayu yang dikemukakan parti itu, manakala Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Azizah Nawawi, yang mempengerusikan panel, mengemukakan pendapat berbeza.

Nallini berkata kebenaran merayu di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 tidak wajar diberikan kerana kes tersebut bukan melibatkan semakan kehakiman pentadbiran, sebaliknya semakan kehakiman perlembagaan.

“Kita berdepan dengan kuasa perlembagaan Speaker (Dewan Rakyat) di bawah Perlembagaan Persekutuan. Kuasa tersebut tidak boleh diadili berkaitan prosiding dalam Parlimen berdasarkan Artikel 63 dan 72 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Dalam keadaan itu, beliau berkata ambang rendah yang lazimnya diguna pakai bagi menentukan sama ada kebenaran perlu diberikan untuk memulakan semakan kehakiman tidak terpakai.

“Mahkamah terikat untuk memberi pertimbangan kepada doktrin pengasingan kuasa dan keistimewaan Parlimen,” katanya.

Beliau turut berkata mahkamah tidak akan campur tangan atau meneliti perkara-perkara di mana Speaker diberikan kuasa khusus di bawah Perlembagaan, kecuali jika Speaker bertindak di luar kuasa tersebut.

Nallini berkata mahkamah tidak berada dalam kedudukan untuk memeriksa atau menyemak sebarang penentuan yang dibuat oleh Speaker selaras dengan kuasa perlembagaannya.

Beliau berkata dalam kes ini, Speaker telah melaksanakan kuasanya di bawah Artikel 49A, yang bukan semata-mata bersifat pentadbiran.

Kuasa Speaker untuk menetapkan kekosongan luar jangka juga merupakan undang-undang yang telah dimuktamadkan berdasarkan dua keputusan Mahkamah Persekutuan, tambahnya.

“Oleh itu, tiada kekaburan dalam perkataan ‘menetapkan’ yang memerlukan penentuan,” katanya.

Nallini turut memutuskan bahawa Bersatu gagal melepasi halangan kebolehdiadilan kerana tidak dapat menunjukkan bahawa mahkamah berhak menyemak kuasa Speaker.

“Kami juga berpuas hati bahawa walaupun kebenaran diberikan, tiada prospek munasabah untuk berjaya,” tambahnya.

Mengumumkan pendapat berbezanya, Azizah berkata persoalan undang-undang yang dibangkitkan adalah sangat penting dan melibatkan kepentingan awam.

Beliau berkata ahli-ahli Parlimen telah menyuarakan kebimbangan semasa perbahasan pindaan Artikel 49A berhubung kuasa Speaker untuk menentukan kekosongan luar jangka.

“Penentuan itu mesti berdasarkan fakta dan tidak diserahkan kepada budi bicara Speaker,” katanya sambil menambah bahawa isu kebolehdiadilan perlu dihujahkan di mahkamah.

Pada 17 April 2023, Mahkamah Tinggi menolak permohonan parti itu untuk mendapatkan kebenaran merayu dalam perkara berkenaan. Keputusan itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan tahun lalu, sekali gus membawa kepada prosiding ini.

Bersatu memfailkan saman bagi mencabar keputusan Speaker Johari Abdul, yang enggan mengisytiharkan kekosongan luar jangka bagi empat kerusi tersebut selepas Ahli Parlimen berkenaan menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Kerusi itu disandang oleh Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Dalam samannya, Bersatu berhujah bahawa keputusan Johari untuk tidak mengosongkan kerusi berkenaan adalah ‘dicemari ketidakpatuhan undang-undang’.

Keempat-empat Ahli Parlimen tersebut, yang ketika itu daripada Bersatu, bertanding sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRU15 pada 2022, ketika Bersatu merupakan sebahagian daripada GRS.

GRS kemudiannya menggugurkan Bersatu sebagai rakan gabungan selepas PRU15.

Peguam Azhar Harun, Chetan Jethwani dan Tang Jia Yearn mewakili Bersatu, manakala Peguam Persekutuan Kanan Ahmad Hanir Hambaly dan Imtiyaz Wizni Aufa Othman bertindak bagi pihak Speaker.

Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Wafiy Azman, Woo J Enn, Wardah Yumna Yunus dan Harel Nieryan hadir mewakili ahli-ahli Parlimen berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.