Adakah dokumen didakwa kertas keputusan penghakiman Najib asli? soal ketua Pemuda Umno

Adakah dokumen didakwa kertas keputusan penghakiman Najib asli? soal ketua Pemuda Umno

Asyraf Wajdi Dusuki berkata mahkamah perlu segera membuat penafian agar imej kehakiman tidak tercalar.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan rasa terkejut berhubung penularan dokumen penghakiman kes SRC Najib Razak, yang masih berjalan.
PETALING JAYA:
Mahkamah perlu segera menafikan dokumen tular yang didakwa mengandungi kertas keputusan penghakiman membabitkan kes rayuan Najib Razak yang sedang berjalan, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, beliau amat terkejut dokumen yang dikatakan itu tersebar di media sosial dan boleh dimuat turun dalam sebuah laman web, selain tular di Whatsapp.

“Persoalannya apakah dokumen ini benar dan asli? Apakah ada agenda jahat untuk memperkotak-katikkan prinsip keadilan dalam negara? Perlu ada penafian segera daripada pihak mahkamah agar tidak timbul prasangka negatif yang boleh mencalar imej institusi kehakiman negara.

“Pemuda Umno akan membuat laporan polis petang ini agar satu siasatan segera dapat dilakukan terhadap penularan dokumen ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Semalam, Asyraf mempersoalkan laporan mendakwa wujud keperluan campur tangan dalam kes SRC membabitkan bekas perdana menteri itu yang sedang didengar di Mahkamah Persekutuan.

Beliau mengulas berhubung laporan berita mendakwa majoriti ketua bahagian mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, campur tangan dalam rayuan akhir Najib.

Najib dituduh kerana salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah, membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Beliau disabit bersalah pada Julai 2020 terhadap semua pertuduhan dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Pendengaran rayuan Najib masih berjalan di Mahkamah Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.