2 pegawai imigresen bebas tuduhan pemerdagangan orang

2 pegawai imigresen bebas tuduhan pemerdagangan orang

Pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

Pegawai Imigresen Shamsul Azizan (dua dari kiri) dan Azani Ab Aziz (tiga dari kiri) bersama peguam mereka selepas dibebaskan.
SHAH ALAM:
Mahkamah Tinggi membebaskan dua pegawai imigresen daripada pertuduhan mengeluarkan dokumen perjalanan palsu bagi memudahkan penyeludupan empat rakyat Malaysia.

Ketika membebaskan Azani Ab Aziz, 46 dan Shamsul Azizan 43, hakim Abd Halim Aman berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

Hakim berkata, pihak pendakwaan juga gagal memanggil saksi material untuk membuktikan kes mereka.

Beliau juga berkata, pertuduhan terhadap kedua-duanya adalah cacat kerana kesalahan yang didakwa adalah bawah undang-undang lain seperti Kanun Keseksaan, Akta Imigresen atau Akta Pasport.

Azani dan Shamsul didakwa mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Kedua-duanya dikatakan mengeluarkan pasport Malaysia kepada rakyat Malaysia Chang Kai Ting, Tan Kok Chuan, Yee Tung Heng dan Wong Kok Hang di pejabat imigresen Kelana Jaya antara 16 Jun dan 6 Dis 2016.

Mereka dituduh mengeluarkan pasport dengan maklumat palsu yang diberikan kepada pejabat imigresen di mana mereka ditempatkan.

Peguam Harpal Singh berhujah bahawa, pertuduhan dikenakan terhadap kedua-dua mereka adalah pemerdagangan manusia, tetapi pemegang pasport adalah rakyat Malaysia, bukan warga asing.

Harpal dibantu Nadia Syaza Rahizam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvina Mohd Rawi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.