
Nazari Ismail dari Universiti Malaya berkata, penjawat awam khususnya kakitangan di peringkat bawahan layak mendapat kenaikan gaji disebabkan kos sara hidup lebih tinggi.
“Bagaimanapun, kerajaan mempunyai beban hutang yang besar ketika ini,” katanya kepada FMT merujuk hutang negara mencecah RM1.045 trilion setakat Jun lalu.
“Sebarang kenaikan gaji akan menambah masalah hutang kerajaan.”

Terdapat kira-kira 1.2 juta penjawat awam, termasuk anggota tentera, polis, guru dan kakitangan pihak berkuasa tempatan.
Nazari berkata, isu 1MDB, yang digelar salah satu skandal rasuah terbesar dunia, telah menambah hutang Putrajaya dengan RM32.08 bilion dalam bentuk komitmen hutang tertunggak.
“Jika kerajaan boleh mengurangkan ketirisan dan pembaziran perbelanjaan, ia mampu memberi gaji lebih baik kepada penjawat awam untuk menampung kenaikan kos sara hidup.”
Bekas pegawai tertinggi kerajaan, Ramon Navaratnam bersetuju, ketirisan mengurangkan dana kerajaan dan menyukarkan kenaikan gaji.

Bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan itu mencadangkan Putrajaya dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membincangkan cara menaikkan gaji secara munasabah kerana kerajaan perlu “mengamalkan empati” ketika penjawat awam bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.
Katanya, kedua-dua pihak perlu memahami skop pelarasan gaji adalah terhad atau ia boleh “melemahkan ekonomi dan belanjawan negara”.
Beliau berkata, Cuepacs juga perlu menggesa penjawat awam meningkatkan produktiviti mereka supaya menyamai sebarang kenaikan gaji, seperti yang diamalkan dalam sektor swasta.
Bagaimanapun katanya, Putrajaya tidak boleh mengabaikan tuntutan Cuepacs atau ia boleh “menyukarkan” pentadbiran semasa, merujuk ancaman piket jika gaji tidak dinaikkan.