Tersebut al kisah Bersatu dan Umno

Tersebut al kisah Bersatu dan Umno

Umno bukan tidak ada masalah dalamannya sendiri. Ada puak propresiden ada puak antipresiden tetapi tidaklah seburuk apa dialami Bersatu.

Mohsin Abdullah

Jika ada frasa atau ungkapan terbaik untuk hurai (gambarkan?) impian Bersatu pada awal penubuhannya saya pilih tajuk lagu nyanyian Emilia Contessa dan Broery Marantika yang cukup popular suatu masa dahulu.

Lagu diberi judul ‘Layu Sebelum Berkembang’. Dipetik daripada filem box office ‘Akhir Sebuah Impian’ keluaran 1973. Emilia dan Broery turut membintangi filem itu.

Come to think of it – tajuk filem pun boleh digunakan untuk describe impian awal Bersatu iaitu mengambil alih daripada Umno sebagai parti pilihan orang Melayu. Sebenarnya, itu impian Dr Mahathir Mohamad semasa menubuhkan Bersatu. Parti iu diasaskan pada September 2016 dan didaftar Januari 2017.

Tetapi, pada hemat saya impian Mahathir layu sebelum berkembang lalu berakhirlah sebuah impian. Namun, ada ketika impian Mahathir itu dilihat bagai akan menjadi realiti.

Imbau kembali 2018 selepas Pakatan Harapan menang PRU14 dan tubuh kerajaan persekutuan. Mahathir diangkat PH ke jawatan perdana menteri. Tidak perlu dinyatakan tetapi saya nyatakan juga sebagai konteks penulisan ini bahawa parti beliau Bersatu duduk dalam PH. Sekali gus dalam kerajaan.

Barisan Nasional pimpinan Najib Razak sudah tumbang. Tulang belakang gabungan itu Umno, yang juga dipimpin Najib terlentang. Terumbang-ambing, hilang punca, hilang ketentuan.

Tuding-menuding berlaku, ramai dalam kalangan pemimpin dan ahli tuduh Umno sudah jadi parti elitis, tidak demokratik, sudah out of touch dengan rakyat.

Ada yang tidak minat bertanding walau apa pun jawatan pada pemilihan parti yang diadakan selepas Umno hilang kuasa. Antaranya Hishammuddin Hussein.

Tidak lama selepas PRU14 juga, berlaku langkah lompat dari Umno ke Bersatu. Bermula di Sabah disusuli lain-lain negeri. Nama-nama besar turut tinggalkan Umno antaranya Mustapa Mohamed dan Syed Hamid Albar.

Nama tak berapa besar pun seperti Hamzah Zainudin, timbalan presiden Bersatu sekarang turut ucap selamat tinggal kepada Umno dan lompat masuk Bersatu. Beliau bawa sekali kerusi Parlimen Larut yang dimenanginya atas tiket BN/Umno.

Antara dorongan ialah ramai orang Umno mahu sertai parti yang menang. Everybody loves a winner bak kata orang. “The exodus is on,” kata pemerhati politik. Langkah tinggalkan Umno beramai-ramai dilihat akan pasti menenggelamkan Umno yang sedang tenggelam. Impian Mahathir mahu Bersatu gantikan Umno seolah akan jadi kenyataan.

Bagaimanapun, the exodus tidak berlaku. Don’t ask why? Hakikatnya masih ramai yang memutuskan untuk kekal dalam Umno. Parti itu survived to fight another day. Memendekkan cerita yang panjang Umno menjadi sebahagian kerajaan hasil Langkah Sheraton pada Februari 2020. Rampas kuasa tanpa pilihan raya.

Daripada parti yang hampir lenyap Umno duduk bersama Bersatu dan PAS dalam kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin presiden Bersatu yang sebelum itu sudah gulingkan Mahathir. Memang benar there are no permanent friends, no permanent enemies in politics, only permanent interests.

Memang benar juga kata Franklin D Roosevelt in politics nothing happens by accident. If it happens you can bet it was planned that way.

Muhyiddin jadi perdana menteri hanya selama 17 bulan. Ahi Parlimen Umno tarik sokongan yang mereka beri kepada Muhyiddin sebelum ini. Memaksa Muhyiddin letak jawatan. Penggantinya Ismail Sabri Yaakob orang Umno.

Umno kembali menguasai kerajaan Malaysia. Tetapi pentadbiran Ismail bertahan hanya 14 bulan berikutan kekalahan PRU15 pada 2022.

PH menang 82 kerusi tetapi tidak cukup untuk membentuk kerajaan. Parlimen tergantung. Tentu kita tidak lupa kemelut politik ini. Namun, ringkasnya BN (baca Umno) menjalin kerjasama dengan PH lalu tertubuh kerajaan perpaduan yang memerintah hingga hari ini.

Sekali lagi Umno dapat duduk dalam kerajaan meskipun secara kongsi kuasa. Itu realitinya, dan Bersatu kita tahu sedang dilanda perang saudara. Ini juga realiti. Semakin hari semakin sengit perang antara kem presiden dan kem timbalan presiden. Pelbagai perkara berlaku yang umum sudah tahu dan tidak perlu saya ulang di sini.

Cuma mahu menyatakan setakat ini kem timbalan presiden khususnya telah dan sedang membuka pekung dan londeh segala-galanya. Hari ini seorang lagi pemimpin kanan yakni Saifuddin Abdullah yang pro kem timbalan presiden diberitakan menghadap lembaga disiplin. Tidak mustahil jika tindakan diambil. Sebelum ini, beberapa anggota geng timbalan presiden sudah dikenakan tindakan disiplin. Ada yang digantung keahlian ada yang dipecat. Satu kampung dah tahu.

The irony of it all. Umno yang dulu bagai melukut di tepi gantang kini dalam keadaan selesa. Beberapa pemimpin jadi menteri. Timbalan perdana menteri pun orang Umno.

Bersatu pula yang pernah megah dengan kuasa meskipun buat seketika sedang kehilangan arah dan melalui alam gelap. Tidak memeranjatkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi ‘terpanggil’ untuk menyindir sambil menggesa wakil rakyat Bersatu kembali sahaja ke pangkuan Umno.

“Ada orang bising kenapa saya sibuk pasal rumah tangga Bersatu. Apa masalahnya? tanpa Puad lalu meneruskan berkata: “Bersatu adalah lawan Umno yang tumbangkan Umno di PRU14 tahun 2028. Bahkan penubuhan Bersatu memang untuk membunuh dan menggantikan Umno tetapi gagal,” kata beliau mengingatkan semua. Pulangkan paku buah keras nampaknya ahli MKT Umno ini.

Namun, Umno bukan tidak ada masalah dalamannya sendiri. Ada puak propresiden ada puak antipresiden tetapi tidaklah seburuk apa dialami Bersatu.

How the wheel has turned? Lalu apa kesimpulan kisah ini? Menurut saya yang di atas janganlah asyik seronok. Pandang-pandanglah ke bawah. Yang di bawah jangan asyik tengok ke atas dan berangan kerana kata peribahasa Melayu ‘yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang’.

Mungkin juga kesimpulannya bak kata Canselor pertama Jerman Otto von Bismarck politics is the art of the possible.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.