Rakyat Malaysia meninggal dunia ditembak 8 kali di Golok

Rakyat Malaysia meninggal dunia ditembak 8 kali di Golok

Zaiton Abdul Rahman berkata anaknya tidak berhutang dengan suspek yang sebaliknya menipu wang menantunya sebanyak RM2,000.

mayat
Zaiton Abdul Rahman berkata anaknya gagal diselamatkan kerana tembakan terkena organ penting. (Gambar Pixabay)
PETALING JAYA:
Seorang rakyat Malaysia meninggal dunia selepas ditembak lapan kali oleh individu dikenali di rumahnya di Golok, Thailand, semalam.

Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, yang berasal dari Kampung Kepas Apam, Pasir Mas, meninggal dunia pada 9 malam Sabtu ketika dirawat di Hospital Sungai Golok.

Zaiton Abdul Rahman, 64, berkata menantunya, Wan Fatihah Mat Hussin, 35, memaklumkan anaknya terkena lapan das tembakan pada 8 malam dan dirawat di Hospital Sungai Golok sebelum mendapat panggilan kedua pada 9 malam memaklumkan anaknya sudah meninggal dunia.

“Saya terkejut apabila mengetahui kejadian itu, namun reda dengan ketentuan Allah. Jenazah anak saya akan dibawa pulang ke sini tengah hari ini,” katanya menurut Berita Harian.

Zaiton berkata, suspek menyerang anaknya sebelum melepaskan tembakan di depan isteri Allahyarham yang gagal diselamatkan kerana tembakan terkena organ penting.

“Beberapa bulan lalu, kediaman anak saya sudah diberi tembakan amaran dipercayai dilakukan individu sama kerana tidak berpuas hati dengan anak saya.

“Arwah pernah bercerita mengenai suspek sebelum ini yang tidak puas hati terhadapnya. Ada yang mengaitkan masalah hutang, namun anak saya tidak berhutang dengan suspek, sebaliknya suspek menipu duit menantu saya sebanyak RM2,000, namun anak saya sudah menghalalkan wang berkenaan.

“Bagaimanapun, masih timbul isu tidak puas hati itu antara mereka. Anak dan menantu saya berniaga beg secara dalam talian, selain menjual batu permata,” katanya sambil menambah menantunya dijangka bersalin anak sulung bulan depan.

Terdahulu, media melaporkan mangsa parah ditembak selepas berlaku pertengkaran yang dipercayai membabitkan masalah hutang.

Polis Thailand giat memburu suspek yang melarikan diri dan meninggalkan sepucuk pistol di lokasi kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.